telah dibungkus sebahagian sejarah. Buruk sangat nampaknya.
Carilah isu lain yang lebih munasabah dan dapat diterima khalayak.
Secara tidak langsung, apabila menjadikan soal pengampunan,
ertinya Kamal dan Ku Li sendiri menerima hakikat kelayakan (eligble) Anwar
untuk jadi Perdana Menteri, hanya masalah pengampunan yang mereka tafsirkan
sebagai menghalangnya. Hakikatnya Anwar memang layak dan tepat untuk jadi
perdana menteri.
Perkara kedua yang perlu difikir dan tidak mudah diterima
mengenai "dapatan" disebut bekas Exco pemuda Umno itu, tentang cerita
Ku Li akan dilantik jadi perdana menteri intrim atas kehendak Yang di-Pertuan
Agong dan Raja-Raja. Untuk melayakkan Ku Li sebagai perdana menteri Kamal
menceritakan jasa-jasa dan peranan Ku Li selama ini. Berdasarkan jasa besar itu
memang Ku Li layak.
Tidak dinafikan apa yang dilakukan Ku Li ke atas negara selama
ini, khasnya dalam aspek ekonomi dan kemajuan orang Melayu memang tidak
terhitung. Jasa Ku Li sangat besar. Tidak boleh nafikan Ku Li seorang anak raja
berjiwa rakyat. Anak Raja Kelantan itu dengan kebijaksanaan politiknya telah
menyelamatkan banyak khazanah negara daripada dijarah orang asing, seperti
memansuhkan perjanjian hak cari gali minyak yang diperolehi oleh Syarikat
Shell.
Beliau juga seperti disebut Kamal, kejayaan besar Ku Li telah
membawa pulang syarikat perladangan dan komoditi yang berpejabat di London
seperti Guthrie, Dunlop dan lain menjadi hak milik negara. Ku Li juga
bertanggungjawab mengajar, mendidik dan menempatkan orang Melayu mengenai
saham, menempat dan memberi peluang kepada anak-anak Melayu menguruskan
institusi kewangan dan ekonomi sendiri dengan mewujudkan PNB, Petronas dan
bank-bank.
Sehingga kini Malaysia belum mempunyai seorang pakar ekonomi dan
kewangan sehebat Ku Li yang diiktiraf bukan saja dalam negeri tetapi di luar
negara juga. Sejarah besar Ku Li ialah menjadi Menteri Kewangan pertama dari kalangan
kaum Bumi dan pernah dilantik menjadi presiden Bank Dunia. Dengan reputasinya
itu beliau memang layak jadi perdana menteri. Ku Li lebih layak daripada tiga
perdana menteri sebelum ini, Abdullah Ahmad, Najib Razak dan Mahiaddin Yassin
waktu ini.
Namun sayang, segala jasa-jasa besar dan budi tinggi Ku Li
kepada orang Melayu dan Malaysia itu tidak dinilai dan dihargai oleh parti Umno
sendiri untuk menghadiahkan beliau jawatan perdana menteri. Tanpa memberi
kesempatan itu Malaysia mengalami kerugian kerana tidak menggunakan eset dan
pakar yang ada. Itulah nasib malang diterima Ku Li beliau sama seperti Hang
Nadim yang dibunuh kerana kecerdikan atau seperti Hang Jebat yang dibunuh
kerana kesetiaan dan keberaniannya.