‘Sabar untuk 3 bulan lagi’, Hamzah beritahu ahli politik beria jadi PM
PETALING JAYA: Semua pihak yang menggesa supaya Parlimen dibuka diharap bersabar dan menunggu sehingga Sept atau Okt selepas negara mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan sesetengah pihak agar pembukaan semula Parlimen dibuat secara hibrid.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak takut dengan pembukaan semula Parlimen.
“Sabar sekejap. Sekarang kita ada program vaksinasi, menjelang September atau Oktober kita akan sampai matlamat kita. Kemudian bukalah. Anda nak bertumbuk, nak buat apa (dalam Parlimen).
“Anda (media) bagitahu semua orang, khususnya ahli politik yang beria-ia sangat hendak menjadi perdana menteri itu agar bersabar untuk tiga bulan lagi,” kata beliau menurut laporan Sinar Harian.
Hamzah turut meminta pihak pembangkang bersabar sehingga negara mencapai imuniti kelompok.
“Anda sudah ada ‘nombor’ dan serang. Masa itu tidak mengapa sebab kita sudah ada imuniti kelompok. Yang sekarang ini tiba-tiba nak buat untuk apa,” soal beliau.
Ahli Parlimen Larut itu berkata jika sidang Parlimen dilaksanakan secara hibrid, perkara pertama perlu dibuat adalah mengenai perintah tetap atau ‘standing order’.
“Perintah tetap Parlimen hibrid macam mana? Kena duduk (berbincang) bagi membuat perintah tetap (Parlimen) hibrid dulu. Berapa lama ia akan mengambil masa? Dua minggu? Tidak cukup,” tambah beliau.
Beliau juga menarik perhatian kepada jumlah orang yang perlu diuruskan sekiranya Parlimen bersidang.
“Ada lebih 200 ahli Parlimen. Kalau setiap seorang bawa pegawai mereka, sudah lebih 400 orang. Pegawai di Parlimen sahaja ada 300 orang,” katanya, dan menambah itu tidak termasuk pemandu dan kakitangan sokongan.
“Jumlahnya akan cecah 1,000 orang. Kalau kita buka Parlimen dan bersidang dari pagi sampai 6 petang setiap Isnin sehingga Khamis, kita beri ruang kepada musuh (Covid-19) menyerang kita.”