Dulu rakyat bantu atasi krisis ekonomi, kini giliran bank balas ‘jasa’ rakyat, kata persatuan perniagaan. Beri kepada B40...M40 punya kuasa beli yang paling banyak dalam negara.Jika tidak diberi.B40 yang berniaga tidak ada kesan pun kerana kuasa beli M40 kurang.
PETALING JAYA: Kerajaan sudah menggunakan berbilion wang pembayar cukai untuk membantu bank mengatasi Krisis Kewangan Asia pada 1997 dan Krisis Kewangan Global pada 2008, kini tiba masanya bank membalas “jasa” itu.
Justeru, Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) mahu bank melaksanakan moratorium pinjaman lebih menyeluruh untuk membantu mereka yang terkesan oleh sekatan akibat Covid-19.
FMBA, yang bercakap bagi pihak lebih sejuta syarikat dan empat juta perniagaan mikro dan pekerja sendiri, berkata bantuan hampir RM70 bilion yang diberikan kepada bank ketika dua krisis ekonomi itu jauh lebih rendah berbanding anggaran RM6.4 bilion yang diperlukan untuk melaksanakan moratorium menyeluruh kini untuk peminjam.
Pada sidang media maya, Pengerusi Protem FMBA Abdul Malik Abdullah berkata, mereka sudah menyerahkan surat yang menggariskan hal itu dan cadangan peluasan moratorium kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 2 Jun.
Presiden kumpulan pengguna, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan, berkata, sejak sekian lama, bank telah memanfaatkan pelanggan dan kini tiba masanya mereka menjalankan tugas sivik mereka.
“Bank mesti bersatu sebagai warganegara Malaysia. Terdapat aspek kemanusiaan di sini yang belum wujud dalam industri perbankan.
“Mereka hanya melihat kepada keuntungan. Kami berharap mereka dapat melihat perspektif kami di sini. ”
Bawah pakej Pemerkasa Tambahan, individu dalam kumpulan B40 dan terjejas akibat kehilangan pendapatan, serta perusahaan kecil dan sederhana yang tidak beroperasi semasa sekatan pergerakan penuh, layak mendapat moratorium pinjaman tiga bulan atau pilihan untuk membayar hanya separuh daripada bayaran bulanan bagi pinjaman mereka selama enam bulan.
Ahli ekonomi Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, jika bantuan tidak diperluas kepada semua rakyat dan perniagaan, yang kebanyakannya berdepan masalah kewangan, kerajaan akan menghadapi masalah yang berpanjangan.
“Aliran tunai adalah masalah besar ketika ini. Jika anda tidak bantu, ekonomi akan menguncup, begitu juga kecairan aset,” katanya.
“Jika perniagaan tidak dapat moratorium pinjaman sekarang, apa yang akan kita lihat adalah banyak perniagaan akan ditutup. Ini akan mempengaruhi kutipan cukai dan ekonomi negara di masa hadapan.”
Cadangan lain yang dikemukakan FMBA termasuk melanjutkan tempoh moratorium hingga akhir tahun atau sehingga imuniti kelompok dicapai, mana-mana yang berlaku kemudian.
Ia turut menyarankan sistem “pilihan” bagi peminjam, berbanding sifat semasa moratorium, iaitu secara sukarela.
Kata FMBA lagi, tiada caj tambahan atau faedah patut dikenakan terhadap pinjaman yang terjejas agar rakyat tidak terbeban dengan kos tersembunyi.
Tambahnya, berdasarkan moratorium menyeluruh pertama pada Mac tahun lalu, dengan kos ditanggung bank sekitar RM6.4 bilion, beban ke atas institusi-institusi berkenaan akan jauh diimbangi oleh keuntungan kira-kira RM93 bilion yang diperoleh oleh lapan bank teratas tahun lalu.