Pendedahan
senarai 101 projek runding terus yang diluluskan pada era pemerintahan kerajaan
Pakatan Harapan (PH) oleh Kementerian Kewangan semalam menjelaskan fakta bahawa
angka kelulusan sebelum ini yang didakwa sebanyak RM6.61 bilion sebagai tidak
benar.
Bekas
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang media di Parlimen pagi tadi
mendedahkan hampir 90% projek runding terus era PH adalah projek yang
diluluskan kerajaan BN tetapi dirunding semula untuk menjimatkan kos.
"(Runding
terus era PH) RM352 juta, bukan RM6.61 bilion. Hanya itu merupakan perolehan
baru rundingan terus yang dibuat kerajaan PH
"Daripada
senarai ini, RM130 juta atau 48.3% nilai keseluruhannya adalah untuk
membina, mengoperasi dan menyelenggara
Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Jinjang Utara bagi
menggantikan stesen sedia ada.
"Projek
ini diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Mungkin
lebih baik menteri berkaitan yang begitu lantang menafikan sebarang penawaran
projek rundingan terus menjelaskan apa sebabnya projek ini ditawarkan secara
rundingan terus," katanya.
Selain itu,
menurut Guan Eng, kontrak rundingan terus RM70 juta juga diberikan kepada Dewan
Bahasa dan Pustaka untuk mencetak buku teks korikulum standard sekolah rendah
akibat kesuntukan masa. Kontrak itu, katanya, mendesak kerana murid-murid tiada
buku teks untuk memulakan sesi persekolahan baharu.
"Satu
lagi rundingan terus ialah dari Kementerian Pertanian, iaitu operasi bersepadu
wabak rabies berjumlah RM2.98 juta. Peruntukan ini terdesak untuk mengatasi wabak
rabies di Sarawak," ujarnya.
Guan Eng
turut menempelak Menteri Kewangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang
berusaha mengelirukan Parlimen dan rakyat mengenai kebobrokan PH dalam meluluskan
projek.
Menurut
beliau, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul juga cuba menutup hakikat bahawa
perdana menteri sekarang dan menteri pengkhianat yang kini menjadi menteri PN
telah meminta banyak projek runding terus.
"Mereka
semua menafikan di Parlimen dan kenyataan akhbar. Penipuan mereka dibongkar
dengan pendedahan senarai oleh Kementerian Kewangan semalam.
"Misalnya
Kementerian Dalam Negeri meminta RM517 juta, KPKT meminta RM171 juta. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,
Azmin Ali meminta RM1.2 juta dan Kementerian Luar Bandar minta RM7.6 juta.
"Di
samping permintaan menteri-menteri
tersebut, projek besar seperti Klang Valley Double Track (KVDT) II mendapat
kelulusan kabinet. Sama ada menteri pengkhianat
ini bohong, tidur dalam kabinet atau sibuk mengaturkan Langkah Sheraton,
hanya mereka yang tahu," katanya lagi.
Guan Eng
menegaskan sekali lagi projek runding terus adalah dibenarkan undang-undang
dengan syarat-syarat ketat dan kerajaan PH telah mempertimbangkan berdasarkan syarat-syarat
yang digariskan.
"Menteri
Kewangan mengakui projek rundingan terus tidak salah dan dibenarkan atas dasar
proses perolehan yang memenuhi syarat-syarat, di antaranya perolehan masa
krisis atau bencana alam. Perolehan melibatkan keselamatan negara, ATM atau
PDRM atau kepakaran khusus.
"Kementerian
Kewangan era PH mengamalkan tender terbuka selaras dengan manifesto PRU PH yang
menyatakannya dalam janji 23.
"Dengan
hanya 0.03% daripada jumlah keseluruhan
perolehan kerajaan PH merupakan projek rundingan terus, jelas PH mengotakan
janji untuk menggunakan sistem tender terbuka selaras dengan prinsip
ketelusan," katanya lagi.