‘Exit Strategy’ diperlukan untuk pemulihan ekonomi
Ekonomi Malaysia sukar pulih seperti sedia kala sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tidak merancang polisi pemulihan ekonomi jangka sederhana dan panjang.
Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran, satu Exit Strategy diperlukan bagi membuka semula negara kepada dunia luar bertujuan memulihkan ekonomi sepenuhnya dalam jangka waktu Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPP).
“Walaupun PKPP memberi banyak kelonggaran kepada berbagai sektor ekonomi, kita perlu tahu tarikh yang tetap bilakah sekolah akan dibuka dan bilakah lapangancterbang antarabangsa akan dibuka sepenuhnya untuk memudahkan pelancong dan pelabur asing datang ke Malaysia,” kata Manogaran kepada Suara Pakatan Daily.
Kata beliau, pelan keluar daripada PKPP itu sebaik-baiknya dilakukan sebelum tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos tahun ini
“Exit Strategy perlu dirancang sekarang untuk membolehkan Malaysia keluar dari Terowong PKP dengan sempurna pada 1 September 2020 depan supaya tarikh 31 Ogos 2020 dapat dirayakan sebagai tarikh kemerdekaan dari PKP dalam segala bentuk dan format selain dari sambutan Kemerdekaan yang ke-63.
“Saya harap rakyat Malaysia dapat mengatasi pelbagai cabaran ekonomi setelah lima setengah bulan mengharungi cabaran wabak Covid-19 apabila tiba tarikh 31 Ogos 2020 nanti. Tetapi apa yang amat diperlukan sekarang ialah kestabilan politik. Kini terlalu banyak permainan dan percaturan politik serta ‘political deal’ atau ‘urusniaga politik’ demi kepentingan peribadi dan bukannya demi kepentingan rakyat.
“Ini bukan situasi yang baik dan boleh menghindar pelabur asing datang ke negara kita apabila senario politik seperti ombak semasa angin bertiup kencang,” sambung Manogaran.
Beliau juga menegaskan perlunya persidangan penuh Parlimen pada bulan Julai 2020 untuk membahas dan meluluskan semua pakej ransangan ekonomi yang telah diumumkan. Negara-negara seperti Singapura dan Britain pun telah mengadakan sidang Parlimen bulan April lalu untuk membahas dan meluluskan pakej ransangan ekonomi negara mereka masing-masing.