Kerajaan berhak halau Rohingya: Isma diserang secara berjamaah

Kerajaan berhak halau Rohingya: Isma diserang secara berjamaah
Datuk Seri Naib Razak juga pernah duduk sepentas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjuangkan umat Islam Rohingya.



Tindakan sebuah jamaah Islam bernama Isma membenarkan tindakan kerajaan menghalau Muslim Rohingya dari mendarat di Malaysia sehingga mati kebuluran di laut dikecam secara berjamaah.
Pelbagai pihak menyifatkan pertubuhan itu menukar balik pendirian mereka lima tahun dahulu untuk membela sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan kerajaan Melayu Islam, yang dilihat sama dengan perjuangan Isma.
Isma melalui media mereka, Ismaweb tiga hari lepas (22 April) berkata, Malaysia berhak menolak pelarian Rohingya dengan alasan jika tidak mampu lagi menanggung beban pelarian yang sudah sedia ramai.
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, tambahan pula dengan musim pandemik COVID-19 dan bebanan ekonomi sekarang, keutamaan kerajaan Malaysia adalah rakyatnya sendiri.
“Pelarian Rohingya sedia ada di Malaysia juga sudah menimbulkan pelbagai masalah. Antara masalah mereka ialah tiada pendidikan sempurna yang akan menjuruskan kepada masalah sosial dan jenayah untuk jangka panjang,” katanya.
Padahal lima tahun dahulu ketika bersama memperjuangkan agenda Melayu Islam bersama Barisan Nasional (BN), Isma mempertikaikan pandangan sesetengah pihak yang memberikan ingatan kenapa tidak boleh terima Rohingya ketika Malaysia boleh menerima pelarian Bosnia dan Vietnam.
Pada ketika itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan melaksanakan lima perkara untuk kebajikan Muslim Rohingya di negara ini termasuk penempatan yang lebih baik, latihan untuk diberikan pekerjaan dan menghantar ke negara ketiga apabila ada yang sedia menerimanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima bantuan USD50 juta (kira RM200 juta) dari kerajaan negera Qatar bagi membantu pelarian Rohingya di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Naib Razak juga pernah duduk sepentas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjuangkan umat Islam Rohingya.
“Isma memang tak boleh dipercayai. Mereka dari dulu memutar belit ajaran agama untuk kepentingan mereka, menanamkan kebencian dan merosakkan imej Islam.
“Mereka redho melihat pelarian Rohingyamati atas sebab kononnya ‘tak mampu’ bantu. Golongan sebegini memang patut ditolak ummat,” dakwa Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad ketika mengulas sikap Isma ini.
Amshar Azizi melalui twitter pula berkata, “Baru hanya 5 tahun lalu. Kumpulan yang sama kali ini berkata jangan terima mereka. Mengecewakanlah,” tulis Amshar sambil meletakkan keratan berita Malay Mail, bertarikh 5 Mei 2015.
Khai Ash melalui twitternya juga kesal dengan tindakan menghina Muslim Rohingya ini.
“Saya sangat takut, manusia tidak berjiwa manusia dengan menyebarkan kebencian terhadap kumpulan ini, dengan menggelarkan mereka makhluk perosak dan tikus. Ya kita patut hukum penjenayah tetapi memusnahkan keseluruhan kaum adalah sangat menakutkan,” tulis beliau.