Prestasi ekonomi negeri Perlis sebelum ini tidak banyak berubah. Buktinya, apabila data rasmi menunjukkan negeri itu gagal mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan sepanjang tempoh pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Lebih membimbangkan, kelembapan ekonomi itu berlaku serentak dengan krisis politik dalaman yang kini menggugat kestabilan pentadbiran negeri.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perlis kekal sebagai negeri dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) paling kecil di Malaysia, menyumbang kurang daripada 0.5 peratus kepada ekonomi negara
Malah, pertumbuhan ekonomi Perlis sepanjang tempoh 2020 hingga 2023 jauh ketinggalan berbanding purata nasional, walaupun negara mencatat pemulihan ketara pasca pandemik COVID-19.
Menurut Laporan KDNK Negeri oleh DOSM dan Tinjauan Ekonomi Kementerian Ekonomi, struktur ekonomi Perlis terlalu bergantung kepada sektor tradisional seperti pertanian, perkhidmatan asas dan perbelanjaan kerajaan.
Negeri itu gagal menarik pelaburan berskala besar atau membangunkan sektor bernilai tinggi yang mampu menjana pekerjaan serta pendapatan baharu kepada rakyat.
Lebih ketara, sepanjang tempoh pemerintahan PN, tiada projek pemangkin ekonomi berskala besar diumumkan di Perlis.
Ini menyebabkan pemulihan ekonomi negeri bergerak perlahan, sedangkan negeri-negeri lain mula menunjukkan peningkatan hasil dan pelaburan.
Keadaan ini bertambah buruk apabila Perlis kini berdepan krisis politik dalaman, walaupun hanya mempunyai satu kerusi pembangkang.
Pertelingkahan dalam kalangan wakil rakyat PN sendiri sehingga mencetuskan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar mencerminkan kegagalan tadbir urus yang serius.
Hakikatnya, kegagalan memulihkan ekonomi Perlis tidak boleh dipisahkan daripada ketidakstabilan politik.
Ketika pimpinan negeri sibuk bergelut mempertahankan jawatan, rakyat terus berdepan kekurangan peluang pekerjaan, pendapatan rendah dan ketiadaan hala tuju ekonomi yang jelas.
Negeri seperti Perlis memerlukan kepimpinan stabil, dasar pelaburan agresif dan sokongan persekutuan yang kukuh untuk keluar daripada perangkap ekonomi kecil.
Namun sehingga kini, semua itu masih gagal dizahirkan.
No comments:
Post a Comment