Pas – Bersatu: Dari halal tebuk atap ke komedi politik di Perlis



Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang mahu lima ADUN Bersatu turut dikenakan tindakan seperti trio Pas di Perlis, sebenarnya bukan soal disiplin parti atau integriti politik. Ia adalah episod komedi politik yang memalukan — kerana datang daripada parti yang pernah menghalalkan pengkhianatan terbesar dalam sejarah demokrasi moden Malaysia.

Ketika Langkah Sheraton meruntuhkan mandat rakyat, Pas bukan sekadar penumpang. Pas adalah rakan kongsi penuh, lengkap dengan justifikasi agama, dalil politik dan khutbah moral.



Ahli Parlimen yang melompat daripada PKR dan Pakatan Harapan tidak dianggap pengkhianat, sebaliknya “penyelamat ummah”. Pada waktu itu, tiada tuntutan supaya mereka dihukum, dipecat atau disiasat, kerana lompat parti menjadi “ibadah politik” yang membawa Pas ke Putrajaya. Tidak pernah ada satu kenyataan juga mengenai pengkhianatan Bersatu ketika itu dalam menggerakkan Langkah Sheraton?



Hari ini, apabila Pas sendiri terperangkap dalam krisis dalaman di Perlis, tiba-tiba lompat parti menjadi dosa besar. Tiba-tiba disiplin dijulang, prinsip ditegakkan, dan Bersatu pula ditunjukkan jari. Inilah Pas versi sebenar: prinsip hanya hidup apabila kuasa terancam.

Jika lompat parti itu salah, Pas sepatutnya memulakan taubat politik dengan mengakui bahawa Sheraton adalah satu kesilapan besar. Tetapi Pas tidak pernah meminta maaf. Sebaliknya, mereka kini mahu menjadi hakim moral ke atas Bersatu — rakan sekongkol yang sama-sama menumbangkan kerajaan dipilih rakyat. Hipokrasi ini bukan kecil, ia struktural.


Lebih menjijikkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam ucapannya di Marang, memberi gambaran bahawa perletakan jawatan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, kononnya berkait dengan terlalu banyak projek dan unsur rasuah. Kenyataan ini bukan sekadar longgar, tetapi tidak bertanggungjawab secara moral dan politik. Bagaimana pula dengan satu rakaman yang tular mengenai kenyataan Shukri yang menghina Istana? Adakah ini satu projek juga?



Soalan paling asas ialah: jika benar wujud masalah projek dan rasuah, di manakah Pas ketika Shukri Ramli menjadi Menteri Besar dengan sokongan penuh mereka? Mengapa Pas tidak menghalang? Mengapa Pas tidak menegur? Atau adakah Pas hanya sedar tentang “rasuah” selepas kuasa tidak lagi selesa di tangan mereka?

Jika isu rasuah hanya muncul selepas pergaduhan dalaman, maka ia bukan integriti — ia senjata politik murahan.


Pas tidak boleh lari daripada hakikat ini: mereka sanggup menutup mata terhadap apa sahaja selagi kuasa terjamin. Tetapi apabila kuasa tergugat, segala-galanya dibuka semula — bukan demi kebenaran, tetapi demi menyelamatkan hegemoni sendiri. Inilah politik Islam versi Pas: akhlak selektif, dosa bermusim, prinsip boleh runding.

Bersatu kini menjadi mangsa kepada sikap ini. Selama ini, Bersatu dianggap sekutu yang berguna. Tetapi apabila Pas merasa dominasi mereka di Perlis tercabar, Bersatu tidak lagi dilihat sebagai rakan, sebaliknya sebagai sasaran. Pas mahu menentukan siapa patut dihukum, siapa patut dikorbankan, dan siapa harus disenyapkan. Ini bukan perkongsian politik, ini hubungan tuan dan hamba.


Perlis hanyalah pentas kecil kepada drama yang lebih besar. Keretakan Pas – Bersatu bukan kerana ideologi, tetapi kerana nafsu kuasa yang tidak lagi selari. Pas mahu kekal dominan, Bersatu pula semakin sedar bahawa mereka hanya diperlukan selagi patuh.

Akhirnya, rakyat harus bertanya dengan jujur: jika Pas boleh menghalalkan pengkhianatan semalam dan mengharamkannya hari ini, apakah jaminan bahawa mereka tidak akan mengubah hukum sekali lagi esok? Jika prinsip boleh ditukar mengikut keperluan politik, maka apa bezanya Pas dengan parti yang mereka dakwa rosak dan korup selama ini?


Jawapannya pahit tetapi jelas: Pas bukan parti prinsip, Pas ialah parti kuasa.


Dan kuasa, apabila dibungkus dengan agama tetapi dikosongkan daripada kejujuran, akhirnya akan memakan tuannya sendiri. Adakah Hukum Karma dan doa-doa qunut PAS melantun kebatang hidung mereka sendiri?






 

No comments: