GSF: Semua Aktivis Malaysia Dijangka Tiba Malam INI

 


Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan CEO MAPIM, Dato’ Dr Ahmad Sani Araby tiba di Istanbul bagi menguruskan keperluan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada 6 Oktober 2025. Foto Facebook Farhan Fauzi

ISTANBUL, 6 Okt – Seramai 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum dibebaskan dan selamat dibawa ke Istanbul, Turkiye, kelmarin, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1), malam ini.

Laporan tersebut selari dengan kenyataan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang berada di sini bagi memantau keadaan dan menguruskan perjalanan pulang ke tanah air.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan CEO MAPIM, Dato’ Dr Ahmad Sani Araby tiba di Istanbul bagi menguruskan keperluan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada 6 Oktober 2025. Foto Facebook Farhan Fauzi

Pesawat membawa aktivis terbabit dijangka tiba pada jam 9.50 malam dan difahamkan ia diperoleh menerusi perkongsian seorang ahli keluarga kepada sukarelawan yang juga pelakon, Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana.

“Esok, 7 Oktober, Selasa… pejuang-pejuang kita semua akan pulang ke tanah air (dan) dijangka sampai jam 9.50 malam di KLIA1,” katanya dalam hantaran melalui laman TikTok @mnflegacy.

Sebahagian daripada aktivis hadir ketika Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan CEO MAPIM, Dato’ Dr Ahmad Sani Araby tiba di Istanbul bagi menguruskan keperluan mereka yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada 6 Oktober 2025. Foto Facebook Farhan Fauzi

Terdahulu, media melaporkan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul menjangka 23 sukarelawan Malaysia berkenaan dapat diterbangkan pulang ke tanah air, seawal-awalnya hari ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar, dipetik berkata semua proses diperlukan bagi membawa mereka pulang, sedang dilaksanakan sebaik mungkin bagi memudahkan urusan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan dengan aktivis Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) di Istanbul, Turkiye pada 5 Oktober 2025. Foto X Anwar Ibrahim

Kelmarin, Perdana Menteri menerusi panggilan video mengadakan perbualan dengan mereka dan akan mengatur satu himpunan meraikan wira dan wirawati negara pada masa sesuai selepas tiba ke Malaysia.



No comments: