Kisah pelaburan tragik PNB dalam Sapura Energy Bhd

 


Oleh DATUK A KADIR JASIN


Kalau kerajaan Malaysia Madani bijaksana dalam pengurusan ekonomi dan perniagaan, tahap kebijaksanaannya adalah luar biasa.


Pada 11 Mac, harga saham Sapura Energy Bhd (SEB) jatuh ke paras paling rendah iaitu tiga sen sesaham. Harga asas (paras value) SEB adalah RM1 sesaham.



Kemudian pada hari itu juga, Bursa Malaysia telah diberitahu yang kerajaan telah memberikan talian hayat RM1.1 billion kepada SEB.


Keyakinan pelabur pulih sedikit dan harga saham SEB naik dua sen.

Tiba-tiba dihebahkan pula yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat SEB dan harga sahamnya “yo-yo” semula.


SEB ini asalnya syarikat swasta yang dikuasai oleh keluarga Shamsuddin Abdul Kadir. Nama asalnya SapuraCrest Petroleum Bhd.


Shamsuddin adalah antara beberapa kerat usahawan Bumiputera kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan penswastaan yang masih hidup.

 

Majoriti sudah lingkup akibat Krisis Kewangan Asia (1997-98), ketidakcekapan dan pengambil balik oleh kerajaan.


Kemudian pada 2011, Sapura Crest ini bergabung dengan sebuah lagi syarikat minyak dan gas (O&G) Bumiputera yang diterajui oleh Mokhzani Mahathir iaitu Kencana Petroleum Bhd bagi menjadi SapuraKencana.


Tetapi pada 2017, Mokhzani menjual sahamnya dalam SupuraKencana dan meninggalkan syarikat itu.


Pada kemuncaknya, harga saham SapuraKencana naik hingga RM4.56 tetapi selepas itu jatuh secara berterusan.

Talian hayat

Menjelang 2017, apabila Mokhzani menarik diri, harganya berada di sekitar RM1.60. Apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) mula memberi talian hayat pada 2018, harga berada di sekitar 60 sen.


Akibat pelaburan “tragik” itu, PNB mengalami kerugian besar yang dipercayai telah dilupuskan (write off). Ertinya hangus.


Shahril Shamsuddin yang terlibat dengan SEB selama 25 tahun, meletakkan jawatan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif pada bulan Mac, 2021.


Seperti saya katakan dalam rencana akhbar Sinar Harian hari ini, menurut laporan media massa, Shahril dibayar gaji RM71.92 juta bagi tahun kewangan 2018 dan RM84.24 juta pada tahun kewangan 2017.

Siasatan SPRM yang dikatakan bermula tahun 2021 telah terlambat untuk menyekat PNB daripada melabur secara besar-besaran dalam syarikat itu. SPRM wajib sahkan siapa yang membuat keputusan melibatkan PNB dalam SEB.

Mohon baca rencana akhbar Sinar Harian hari ini untuk kefahaman yang lebih mendalam.






No comments: