MEMBERI UCAPAN DI UNIVERSITI AL AZHAR


 Alhamdulillah, usai pertemuan bersama Fadhilatul Imam Al-Akbar Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad Al-Tayyeb, Syeikhul Azhar berpeluang hadir dan berbicara di Dewan Universiti Al-Azhar, Kaherah. Saya juga ingin rakamkan penghargaan kepada Syeikhul Azhar atas jemputan menyampaikan syarahan umum di institusi yang mulia ini.







Adalah satu penghormatan mendapat peluang berada di sini yang merupakan gedung ilmu yang punya sejarah lebih seribu tahun di hadapan para ilmuwan dan anak-anak yang belajar di sini hari ini. Al-Azhar antara institusi yang telah memberi sumbangan pendidikan dan pencerahan serta berpengaruh dalam dunia Islam muktahir ini.


Program islah dan perubahan yang dimulakan oleh Universiti Al-Azhar dengan kemunculan Syeikh Rashid Reda, Syeikh Muhammad Abduh dan lain-lain menjadi benteng akidah dalam keadaan negara umat Islam diasak oleh penjajah dengan pelbagai segi seperti dilemahkan kekuatan dan dihilangkan keyakinan mereka. Inilah peranan yang dilakukan oleh Lord Cromer di Mesir, Stamford Raffles di Rantau Melayu dan Thomas Macaulay di India dalam mempengaruhi minda umat Islam.


Dalam menghadapi cabaran ini, kıta juga punya tema atas nama islah dan pembaharuan di Malaysia mengambil ibrah al-Quran mengenai sebagaimana doa Nabi Syuib yang dalam surah Hud, ayat 88: 


إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ


Maksudnya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.


Oleh dengan itu, kita mahu anak-anak kita disini meneruskan semangat roh perjuangan ilmu ini. Sewaktu Al-Azhar sedang meneroka bidang dan disiplin baru tanpa meninggalkan akar di bumi iaitu kekuatan akidah serta legasi keilmuan Islam khususnya turath Islami. 


Saya juga berkongsi beberapa usaha Kerajaan Malaysia sejak dua tahun terakhir ini seperti memperkenalkan dan mewajibkan pelajar Islam dari semua aliran sekolah di Malaysia memahami kitab Hadis 40 (Matan Arbain); mengembalikan bantuan pendidikan kepada sekolah agama rakyat dan meningkatkan usaha memberi peluang anak-anak dari pengajian tahfiz menyambung pendidikan TVET. 


Juga dikongsikan adalah persetujuan untuk menyahut pelawaan Syeikhul Azhar dalam menjayakan Majlis Hukama' al Muslimin pimpinan beliau dengan menamakan wakil Malaysia, termasuk seorang wanita.


Saya juga menegaskan di dewan yang mulia ini mengenai keputusan Kerajaan Malaysia melarang dan tidak memberi izin kepada kapal dagang Israel berlabuh di mana-mana pelabuhan di Malaysia dan kini Malaysia juga sedang mengemukakan cadangan agar Israel disingkirkan dari menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 


Insya-Allah, dengan segala kudrat dan doa anak-anak serta para ulama yang mendukung kita, Malaysia akan melakukan apa yang terbaik untuk negara dan umat. Islam tidak akan tertegak semata-mata dengan laungan dan retorik, tapi mesti dengan penghayatan yang benar dan dizahirkan melalui tindakan serta mesej yang jelas.


#MalaysiaMADANI