KEHILANGAN SOKONGAN BUKAN MELAYU BERI LALUAN MUDAH PN GANTI PH AMBIL ALIH KERAJAAN



Secara realiti, kejayaan PH mengetuai kerajaan bukanlah disebabkan parti itu menang secara mutlak dalam PRU15 lalu.


PH hanya menang 82 kerusi Parlimen saja ketika itu, satu kedudukan yang masih jauh daripada angka paling minima 112 untuk membentuk kerajaan.


Lantaran itulah, hanya dengan kesediaan UMNO/BN yang mempunyai 30 kerusi Parlimen untuk memberi sokongan, kemudian diikuti dengan datangnya sokongan daripada Sabah dan Sarawak, maka akhirnya terbentuklah kerajaan yang ada pada hari ini dengan Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai Perdana Menteri.


Secara realiti juga, kejayaan PH meraih jumlah kemenangan 82 kerusi itu, paling banyak berbanding semua gabungan lain, adalah disebabkan sokongan pengundi bukan Melayu secara majoritinya.


Selain kerana DAP memenangi 40 daripada 82 kerusi itu, kerusi-kerusi yang dimenangi PKR (31 kerusi) dan Amanah (8 kerusi) adalah juga merupakan kawasan pengundi campuran yang mana pengundi bukan Melayu merupakan penentu kepada kemenangan yang diperolehi.


Daripada 31 kerusi PKR tersebut, sebahagiannya juga turut dipegang calon bukan Melayu.


Dengan itu, PH bolehlah dikatakan gabungan yang amat bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu.


Tetapi, berdasarkan keputusan PRK Sungai Bakap di mana peratusan pengundi bukan Melayu yang keluar hanya 47 peratus, ini adalah petanda buruk buat masa depan PH.


Tanpa keraguan pengundi bukan Melayu Sungai Bakap sedang menghantar mesej menolak kerajaan madani pimpinan Anwar, terutama berkaitan isu ekonomi dan kenaikan harga diesel yang dianggap keterlaluan.


Secara umumnya, orang Cina tidaklah menolak secara total penyasaran subsidi, namun kenaikan sebanyak RM1.20 seliter dilihat terlalu tinggi.


Isu yang dipersoalkan di mana-mana, pastinya termasuk di Sungai Bakap ialah kenapa kerajaan tidak menaikkan harga diesel secara berperingkat-peringkat supaya beban kepada kehidupan dan perniagaan tidak terlalu mendadak?


Sementara sokongan Melayu memang ala-ala syahdu saja dalam PKR, malah sokongan Melayu kepada UMNO, rakan utama PH dalam gabungan kerajaan madani sendiri sudah lama merosot setiap kali PRU, protes dan penolakan pengundi bukan Melayu ini tidak harus dipandang ringan.


Sebab itu, sebelum ini disebutkan bahawa kekalahan di Sungai Bakap adalah petunjuk gelap buat masa depan Anwar.


Jika pengundi bukan Melayu berterusan menolak PH dan mereka beralih menyokong PN, gabungan itu yang sudah memiliki sokongan Melayu yang mantap akan lebih mudah mengambil alih kerajaan dalam PRU16 akan datang.


Dalam ini, sebagai langkah segera menangani penolakan itu, kerajaan wajar menangguhkan dahulu untuk melakukan penyasaran subsidi RON95, manakala kenaikan RM1.20 subsidi diesel yang sedia ada juga perlu dikaji semula.


Kenaikan terus sebanyak RM1.20 adalah terlalu tinggi dan barangkali kenaikan yang munasabah ialah dengan menaikkan sekitar RM0.50 sen seliter terlebih dahulu.


Selepas setahun dua, kemudian barulah dinaikkan lagi sebanyak RM0.20 sen atau RM0.30 sen sehinggalah tahap kenaikannya mencapai tahap yang munasabah.


Rakyat kita sudah sekian lama terbiasa dengan subsidi dan harga minyak yang rendah dan kenaikan mendadak sehingga RM1.20 adalah mengejutkan.


Sebagimana rakyat terkejut dengan kenaikan tidak munasabah itu, bermula di Sungai Bakap, pengundi kawasan itu, khususnya pengundi bukan Melayu, dengan jelas telah membalas kejutan yang mereka terima dengan membuatkan kerajaan pula terkejut kerana daripada kalah 1,563 undi pada PRN lalu, jumlah undi kekalahan telah ditingkatkan secara sengaja kepada 4,267 undi.


Siapa yang benar-benar terkejut akhirnya?


Lagi pun, dalam pengumuman kerajaan sebelum ini, mereka menyebut dengan penyasaran subsidi dan menaikkan harga diesel sebanyak RM1.20 sen, ia akan menyebabkan kerajaan dapat menjimatkan RM4 bilion setahun.


Heyyy…kenapa Anwar yang berkali-kali berjanji mahu menurunkan harga minyak, tiba-tiba kedekut dengan wang RM4 bilion setahun?


Besar sangatkah RM4 bilion itu dalam konteks membantu rakyat?


Kalau kenaikan diesel tidak dapat dielakkan kerana faktor penyeludupan, bukankah yang perlu dilakukan ialah meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan sempadan?


Selain itu, kenapa berkira sangat dengan RM4 bilion setahun kalau benar pelaburan beratus bilion daripada pelbagai negara telah berjaya dibawa masuk sejak Anwar pegang jawatan Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 08Julai2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/07/08/kehilangan-sokongan-bukan-melayu-mu-mudahkan-pn-ganti-ph-ambil-alih-kerajaan.html



No comments: