Saya agak geli hati dengan reaksi sesetengah pihak terhadap tulisan saya kebelakangan ini yang dilihat sedikit kritikal terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Dah lain nampaknya tulisan sekarang ini?
Kenapa sekarang hentam Anwar dan kerajaan, bukankah sejak dulu you menyokong beliau?
Tak sokong Anwar lagi ke?
Dah beralih sokong pembangkang ke sekarang?
Ini adalah antara beberapa respon secara langsung yang saya terima sejak akhir-akhir, baik melalui teks Whatsapp atau pun panggilan telefon.
Termasuk yang memberi reaksi itu ialah mereka yang saya ketahui sejak dulu tidak pernah menyokong Anwar, tetapi sekarang ternampak begitu sensitif bila Perdana Menteri ditegur.
Inilah dunia, memuji dan memuja orang yang ada kuasa tetap merupakan suatu keseronokan yang digilai.
Di ruangan komen apabila saya kongsikan di media sosial tulisan saya yang kritikal itu, beberapa pengomen juga turut menunjukkan rasa tidak senang dengan apa yang saya tulis itu.
Seolah-olahnya oleh kerana saya dilihat penyokong Anwar sebelum ini, maka saya mesti menyokongnya sampai bila-bila.
Kepada semua yang berkenaan, ingin saya jelaskan bahawa saya adalah penulis bebas yang tidak terikat dengan mana-mana pihak, baik mereka itu sosok pemimpin atau pun ideologi perjuangan.
Saya tidak menganggotai mana-mana parti, sama ada dalam PH atau di luar PH, dengan yang demikian saya tidak terikat dengan sebarang disiplin atau kepatuhan.
Meski saya menyokong Anwar sehingga beliau berjaya menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak meletakkan diri saya taksub kepadanya.
Sejak dulu, saya beberapa kali pernah menegur dan mengkritik beliau.
Isu lantikan Nurul izzah sebagai penasihat kanan di MOF dan perbuatan Anwar bergurau dengan seorang pengacara wanita remaja di sebuah acara terbuka – kalau saya muda, saya dah minta nombor telefon you – adalah antara isu yang pernah saya kritik beliau sebelum ini.
Yang terbaru, saya mengkritik Anwar kerana kerap mengulang-ulang cerita rasuah golongan maha kaya, termasuk mengatakan biliknya di Penjara Sungai Buloh masih kosong, walhal tindakan sudah pun diambil oleh SPRM serta mengingatkan beliau tentang janji-janji lama yang mengejarnya.
Dalam erti kata lain, saya bukanlah walaun dan bukan juga walanon yang mengiayakan semua perkara yang dilakukan Anwar.
Jika ada yang dirasakan tidak kena dan perlu ditegur, Insya Allah saya akan menegur dan mengkritik beliau demi kebaikannya.
Saya mengkritik bukan untuk menjatuhkan, tetapi agar beliau dilihat lebih baik, tidak mengulangi kesilapan yang sama di lain masa dan tidak melakukan sesuatu yang pernah ditentangnya ketika belum berkuasa.
Kalau untuk menjatuhkan, itu dinamakan balunan.
Tetapi dalam kes Anwar setakat ini, ia adalah dalam bentuk kritikan dan belum mencecah ke tahap membalun lagi.
Kalau nak tahu bagaimana tulisan yang membalun, boleh tengok tulisan-tulisan lama saya mengenai Najib Razak, Tun Mahathir Mohamad, Mahiaddin Md Yasin dan Ismail Sabri Yaakob ketika masing-masing memegang jawatan Perdana Menteri sebelum itu.
Ketika itu baru betul-betul dinamakan pembalunan, bahkan saya membalun secara bersiri-siri sehingga mereka berhenti.
Sebagai penulis yang bebas, saya ingin terus menegur dan mengkritik Anwar jika saya rasakan perlakuan, sikap, penampilan atau tindakannya yang perlu saya tegur dan kritik.
Nak mengampu, membodek, cium tangan atau cium pipi, biarlah orang lain bahagia melakukannya.
Selain tiada kepandaian membodek, saya juga tidak berharap apa-apa dan sebab itu, sejak kerajaan madani ini terbentuk, saya belum pernah lagi menjejakkan kaki ke mana-mana pejabat menteri, kementerian, agensi atau apa-apa yang berkaitan dengan kerajaan.
Kalau ada pun pejabat kerajaan yang saya kunjungi, ia hanyalah sebuah majlis perbandaran dan pejabat tanah di mana saya membayar cukai pintu dan cukai tanah di sana.
Cuma jika ada yang bertanya, sampai bilakah saya akan mengkritik dan menegur Anwar melalui tulisan atau apabila sesekali dijemput dalam podcast dan sebagainya?
Jawabnya, selagi kritikan kekal sebagai kritikan dan belum bertukar menjadi pembalunan. – ShahbudinHusin 27/02/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/02/27/ini-baru-kritikan-belum-lagi-balunan.html