Walaupun DAP boleh dikata agak baru berada di dalam kerajaan, tetapi parti itu memiliki sejarah yang panjang daripada segi perjuangannya.
Dengan berada dalam tempoh yang lama dalam politik Malaysia yang berbilang kaum ini, tetapi hakikatnya dikuasai oleh majoriti Melayu, DAP sepatutnya tahu, sedar dan faham apa yang sensitif dan tidak boleh diperkatakan secara terbuka.
Berada dalam kerajaan bukanlah lesen untuk DAP boleh berkata apa saja demi kepentingan pejruangan parti mereka seperti isu Perdana Menteri bukan Melayu dan gesaan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT.
Tambahan lagi, kerajaan perpaduan ini bukan didirikan secara mutlak oleh PH atau DAP, sebaliknya melalui kerjasama dengan UMNO dan parti-parti lain di Sabah serta Sarawak.
Bahkan, jika tanpa UMNO setuju memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim, kerajaan mustahil dapat ditubuhkan.
Seterusnya, tanpa UMNO juga, parti-parti di Sarawak khususnya, tidak mungkin menyusul memberi sokongan.
Oleh itu, kepada DAP – berpada-padalah.
Kedua-dua isu berkenaan adalah sentisif kepada UMNO terutamanya kerana ia adalah gambaran jelas yang memperlihatkan DAP mahu mengenepikan orang-orang Melayu.
Sepatutnya, apabila berada dalam kerajaan perpaduan ini, DAP lebih faham dan mengerti erti toleransi dan menjaga hati.
Janganlah semua perkara yang menjadi perjuangan parti mereka selama ini hendak diperkatakan sacara terbuka.
Macam isu Perdana Menteri bukan Melayu, meski ia dibenarkan dalam Perlembagaan Negara, namun selagi orang Melayu masih majoriti dan tidak sedia menerima pemimpin bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, tak usahlah ia diperkatakan atau dituntut secara terbuka.
Ia seperti seorang lelaki yang meskipun dibenarkan dalam hukum untuk berkahwin sehingga empat, tetapi adakah boleh, manis dan berbudi bahasa jika suami asyik bercakap soal nak kahwin lagi di depan isterinya sendiri?
Dalam hal ini, lainlah jika DAP ada lebih 112 kerusi Parlimen atau mereka boleh berdiri sendiri menubuhkan kerajaan.
Dengan ada hanya 40 kerusi Parlimen saja, duduklah diam-diam sebagai anggota kerajaan yang baik.
Begitu juga dengan pilihan raya di PBT yang didesak diadakan di Wilayah Persekutuan, tidakkah ini cubaan untuk mengenepikan orang-orang Melayu lantaran bukan Melayu lebih menguasai komposisi kependudukannya?
Apa yang diamalkan sekarang sudah terbaik di mana semua kaum dilantik dan ada tempat dalam menduduki semua PBT, termasuk dalam Lembaga Penasihat DBKL.
Kenapa pula DAP mahu memonopoli semuanya?
Maka, mulai sekarang, pemimpin-pemimpin tertentu dalam DAP, termasuk Lim Kit Siang haruslah lebih berhemah, ada sifat memahami dan jangan terlalu golojoh dalam memperjuangkan dasar parti mereka.
Jika berterusan begini, baru setahun berada dalam kerajaan tapi sudah mahu tunjuk belang, hakikatnya DAP belum sesuai berada dalam kerajaan, terutama kerajaan perpaduan atau yang bersifat campuran yang masih ada Melayu atau dikuasai Melayu di dalamnya.
Tidak kurang pentingnya, demi masa depan PH dalam jangka panjang, Anwar selaku Perdana Menteri dan Pengerusi PH, haruslah selalu memberi nasihat dan menegur DAP berkaitan kepentinfan menjaga sensitiviti orang-orang Melayu ini.
Jangan dibiarkan ada lagi pemimpin DAP bersikap celupar dan cakap sedap mulut saja menyinggung hati orang-orang Melayu.
Jika tidak ditegur dan dinasihati, selain DAP akan selamanya dicurigai, malah lebih dibinbangi hayat Anwar pun tidak mampu lama bertahan sebagai Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 19/12/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/12/19/dap-belum-sesuai-berada-dalam-kerajaan-anwar-patut-beri-teguran.html