Bagaimana Meletakkan Ucapan "Merry Christmas" Antara Wajar dan Tidak Wajar!


Hapiz Kodiang





Ucapan tersebut adalah perkara ijtihadi yg berkaitan dgn bentuk komunikasi sosial antara masyarakat Islam dgn bukan Islam. Penentuan hukumnya perlu mengambilkira realiti semasa seperti faktor pranata sosial Islam vs bukan Islam masa kini,  faktor demografi dan domestik. Faktor² tersebut mesti diperhatikan semasa kita membacakan nas Quran dan hadis yg berkaitan muamalah dgn orang kafir. Fiqh al-ahkam ialah merumuskan hukum yang betul pada masa, tempat dan keperluan yang betul. Ia bukan main hentam kromo saja,  asalkan ada dalam Quran dan hadis.


Dalam kuliah radio di RTM Kedah Ahad 23 Disember lalu,  saya merumuskan seperti berikut :


1. Sebahagian ulama kata haram seperti Ibn Taymiyyah,  Ibn Qayyim. Diikuti oleh kebanyakan ulama Salafiyyah-wahhabiyyah seperti Sheikh Al-Uthaimin,  S Abdul Aziz Bin Bazz,  S Soleh al-Munajjid dll. Dr Zakir Naik pun kata haram.. Al-Lajnah al-Daaimah fatwa Arab Saudi juga kata haram. 


2. Sebagaian ulama kata harus seperti Darul Ifta Mesir,  Lajnah Fatwa al-Azhar,  Majlis Ulama Indonesia, Muzakarah Fatwa kebangsaan dan Mufti Wilayah Persekutuan. S al-Qaradhawi,  S Ibn Bayyah,  S Mustafa al-Zarqa dll juga kata harus. 


3. Perbezaan itu disebabkan perbezaan perspektif masing² terhadap maksud ucapan Merry Christmas dll. Yang kata haram menganggap ucapan itu mengiktiraf agama mereka, mengakui ketuhanan Jesus atau menunjukkan perakuan seolah-olah agama mereka benar. Mereka menghujahkan nas-nas QS yang melarang umat Islam cenderung kpd orang kafir,  memberikan salam,  dan meniru (tasyabbuh)  amalan bukan Islam. 


Adapun yg kata harus,  melihat ucapan tersebut sebagai menzahirkan ucapan kegembiraan pada mereka atas dasar kemanusiaan,  hak kewarganegaraan, layanan baik sesama warga negara yang tidak memusuhi Islam,  tanpa ada kaitan dgn akidah. Mereka menghujah nas QS yg memperkatakan kepentingan menjaga keharmonian,  berlaku baik kpd jiran,  rakan dan rakyat bukan Islam yang baik. 


4. Justeru,  saya tidak mampu melarang sesiapa yang hendak mengucapkannya atau menyuruh orang berbuat demikian. Namun,  dalam hal ini saya memilih utk menghukumkannya sebagai suatu yang harus atau TIDAK HARAM mengucapkan demikian setelah mengambil kira keadaan sosial dan kemajmukan masyarakat di Malaysia terutama di Sabah Sarawak,  Pulau Pinang,  Kuala Lumpur,  Negeri Sembilan dll. Di Malaysia,   majoriti penduduknya +- 65% beragama Islam. Penganut Kristian cuma 7-8% sahaja. 


5. Namun keharusan tersebut TIDAK MUTLAK. Pengucapannya adalah wajar untuk kerajaan, majikan,  syarikat yang pekerjanya ada beragama Kristian. Diharuskan untuk mengucapkannya sebagai penghargaan kpd pekerja tersebut. Begitu juga jika kita, umat Islam bekerja dalam sektor yg bercampur dgn pekerja BUKAN beragama Islam,  maka tidak salah utk kita berkata demikian kpd rakan sekerja (sepejabat,  sejabatan,  sebelah meja) sedangkan mereka pun selalu ucapkan Selamat Aidil Fitri,  Aidil Adha kepada kita. Begitu juga jika jiran tetangga kita yang baik,  maka diharuskan berbuat demikian. 


Namun jika kita berada di kampung atau kawasan takde orang Kristian seperti di kawasan Sik,  Baling,  Padang Terap,  Kubang Pasu,  Jerlun atau di Terengganu,  Kelantan,  Perlis atau para imam masjid surau,  pejabat agama yang clientnya semua beragama Islam,  tidak ada seorang pun orang kafir,  maka TIDAK PERLU lah untuk beria-iya menaikkan banner,  poster atau bunting mengucapkan SELAMAT HARI KRISMAS kerana tiada orang Kristian pun kat Kodiang tu nak menjawab.


6. Dalam ucapan itu,  niat kita bukanlah untuk membesarkan (تعظيم) agama dan kepercayaan mereka. Ia tidak lebih daripada mengucapkan ucapan yang baik. Imam Izzuddin Abdul Salam pernah ditanya soalan yg sama,  beliau menjawab jika niat penuturnya seperti dinyatakan,  tidak menjadi KAFIR. Lain hukumnya,  jika memang penutur memang betul-betul memaksudkannya. Kafirlah ia. Saya fikir,  tiada seorang pun orang Islam yang ucapkan Merry Christmas bermaksud seperti itu.


7. Jika ada yg masih khuatir,  sangsi atau tidak senang hati dgn ucapan tersebut boleh gantikannya dgn ucapan-ucapan tahniah lain yang beliau fikirkan harmoni dan dapat menunjukkan bahawa Islam sebuah agama yang mengamal toleransi,  rahmah dan melihat penganut agama lain sebagai rakan kehidupan dunia yang sama-sama ingin kedamaian. 


Cuma pesan saya,  dalam meraikan keharmonian sosial bersama bukan Islam,  kita wajib menjaga identiti Islam kita supaya tidak melebur dalam amalan toleransi yang ingin ditonjolkan. Adalah memualkan apabila kita terlajak Kristian daripada orang Kristian seperti sama-sama memegang lilin,  menyanyi lagu krismas atau hadir upacara ibadat mereka di gereja pada 25 Disember itu nanti. 


8. Menjawab soalan pemanggil bolehkah kita hadir kenduri jemputan mereka. Saya jawab bahawa hukumnya tidak wajib. Namun jika mereka mengasingkan makanan halal yang disediakan pula oleh katerer Muslim,  saya katakan jiwa begitu halnya,  maka tiada masalah untuk hadir. Cuma elakkan hadir ke gereja atas kapasiti individu (kecuali wakil kerajaan) utk elak fitnah. Jika majlis mereka dipenuhi lagha,  maka bukan setakat kenduri mereka,  kenduri orang berjenama Islam pun haram kita hadir. Berkenaan memberikan hadiah pula,  harus memberikan apa apa hadiah dan sumbangan yang halal,  bukan haram atau syubhah. Haram kita hadiahkan arak atau daging babi kepada mereka. Jika berikan kek atau kuih muih,  itu tidak mengapa.  


Itulah antara rumusan saya berdasarkan beberapa hujah QS yang tidak saya nyatakan di sini. Jika terdapat asatizah lain yang berbeza,  tidak mengapa kerana hal ini bukanlah suatu yang qat'iy. Saya pun tidak mampu memaksa semua orang bersetuju dgn pandangan ini. Namun harus diingatkan bahawa ini bukan keputusan rasmi fatwa negeri Kedah. Ia hanyalah pandangan saya yang bersetuju dgn beberapa fatwa seperti saya nyatakan di atas.


والله اعلم بالصواب


Kepada penganut Kristian,  saya ucapkan semoga bergembira pada hari tersebut! 


Dr HK

Cameron Highland

25 Disember 2018



No comments: