Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar Ahli
Parlimen pembangkang meneliti semula pembentangan Belanjawan 2024 yang
disifatkan oleh mereka sebagai ‘keliru’.
Hal itu, katanya kerana salah faham Ahli Parlimen, Ahmad Fadhli
Shaari (Pas-Pasir Mas) yang mempersoal peruntukan pembangunan RM90 bilion bagi
Belanjawan 2024 lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, sedangkan belanjawan
terdahulu dijumlahkan bersama pembayaran hutang 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) yang bonnya matang pada 2023.
"Saya nak jelaskan sedikit kekeliruan kerana kata Pasir Mas,
(Belanjawan) 2023, perbelanjaan RM97 bilion tetapi (Belanjawan) 2024 hanya RM90
bilion. Maknanya sekarang (Belanjawan 2024) kurang.
"Kalau baca (Pembentangan Belanjawan 2024) sebenarnya 2023
itu jadi RM97 bilion (kerana) RM13 bilion itu membayar hutang 1MDB. Jadi
sebenarnya angka RM84 bilion.
"Ia disebut dalam buku Belanjawan Tinjauan Ekonomi Fiskal
Belanjawan 2023, jadual 3.10, muka surat 49. Jadi lain kali baca dulu,” katanya
dalam sesi penggulungan Belanjawan 2024 oleh Menteri Kewangan petang ini di
Dewan Rakyat.
Jelas Perdana Menteri, bagi pembayaran hutang seterusnya dijangka
akan dibayar pada tahun 2039 apabila satu lagi bon terbitan 1MDB matang.
"Jadi apakah tahun ini ada bayaran 1MDB? Tidak, ia mengikut
jadual bayaran pada tahun 2036 kalau tak silap saya, jadi lambat lagi,"
ujarnya.
Pada 13 Oktober, menerusi Belanjawan Madani Kedua, kerajaan
memperuntukan RM393.8 bilion perbelanjaan belanjawan tahun hadapan, sekali gus
menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah
tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk
belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.