TIADA DNAA DALAM ISLAM: AMBIL TINDAKAN TERHADAP HJ HADI








 Kenyataan Presiden Pas Hj Hadi Awang kononnya tiada kaedah melepas tanpa membebaskan (DNAA) dalam Islam ditegur oleh Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga mantan Naib Presiden Pas pada suatu ketika berkata, Hj Hadi tidak cermat dalam mengeluarkan hujah atau sememangnya ingin mengelirukan umat Islam Malaysia dalam isu DNAA tersebut.

Katanya, amat tidak wajar Hj Hadi yang mempunyai kedudukan di peringkat antarabangsa mengeluarkan pendapat tidak sejalan dengan undang undang syariah di negaranya sendiri.

“Apa yang mengejutkan Presiden Pas berkata DNAA itu tidak ada dalam Islam. Ini satu perkara mengejutkan apabila seorang ulama yang mempunyai kedudukan sangat besar, pernah mewakili negara di dunia Arab dan pernah berada di peringkat antarabangsa dalam Kesatuan Ulama Dunia tiba tiba membuat kecaman menyatakan dalam Islam tidak ada DNAA

“Sedangkan apa yang dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Agama bahawa DNAA ini wujud dalam kebanyakan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri, di sebahagian besar negeri termasuk di Terengganu.

“Pada saya kenyataan Hj Hadi itu memberikan gambaran bahawa seolah olah enakmen tatacara jenayah syariah negeri ini tidak Islamik apabila adanya DNAA itu,” katanya dalam siaran media Tiktok.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu lagi, pihak berkuasa agama negeri yang mempunyai kaedah DNAA di negeri mereka seharusnya bertindak ke atas Hj Hadi agar umat Islam di negeri masing masing tidak terkeliru dengan pendapat peribadi tokoh agama pujaan Pas itu.

“Bagi saya, pihak berkuasa agama negeri seharusnya mengambil tindakan terhadap Hj Hadi sebab ini satu tuduhan apabila dia menyatakan DNAA tidak wujud dalam Islam, sedangkan sebahagian besar enakmen tatatacara jenayah syariah wujud DNAA.

“Bagi membersihkan nama baik pihak berkuasa agama negeri, termasuk Terengganu, khususnya Ke Bawah Duli Tuanku (ketua agama Islam negeri) dan raja raja, seharusnya pihak berkuasa agama negeri mengambil tindakan terhadap presiden Pas ini,” katanya lagi. – Suara Keadilan


No comments: