Dewan PBB kosong: Ucapan PMX selepas wakil Israel - Dr Zaliha


 Kekosongan dewan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (PBB) sewaktu Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 baru baru ini menjadi 'content' baharu kritikan para penyokong PN.


Kononnya perwakilan negara negara dunia enggan mendengar ucapan yang disampaikan oleh PM Malaysia.


Bagi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang turut serta ke dewan PBB kelmarin, kekosongan itu berlaku akibat 'timing' yang kurang tepat kerana Datuk Seri Anwar dijadual berucap selepas wakil Israel memberikan ucapan kenegaraan.


Kebanyakan delegasi negara Islam, katanya, sejak puluhan tahun lalu memang memboikot ucapan wakil Israel dan mereka belum masuk semula ketika PMX menyampaikan ucapan.


"Saya baca berita dan komen tentang dewan kosong bila Datuk Seri Anwar memberikan ucapan sulungnya.


"Sebenarnya macam ini keadaannya. Masa kami masuk, PM Israel sedang memberikan ucapan kenegaraan beliau. Ketika itu memang ramai yang keluar dari dewan.


"Sejurus selepas itu giliran PM. Ketika itu pun ada beberapa negara mula masuk kembali selepas habis ucapan dari Israel. (Namun) kita telah dengar ucapan Datuk Seri Anwar, ianya ucapan yang amat bagus. Kita mendapat tepukan gemuruh bukan sahaja daripada Malaysia tetapi dari rakan negara lain.


"Saya rasa itu perkara yang setiap orang perlu tahu dan kita seharusnya berbangga. Jangan besarkan sangat isu dewan kosong, itu biasa. Sebab kadang kadang tidak kena masa dan sebagainya. Tetapi yang terbaik ialah isi kandungan ucapan," katanya dalam siaran media Tiktok ketika menunggu transit penerbangan di Dubai.


Dalam pada itu, pengulas radio Khairy Jamaluddin yang tidak lagi bergiat aktif di bidang politik baru baru ini turut berkongsi pengalaman beliau ketika menghadiri persidangan PBB.


Menurut Khairy, berlaku kekosongan atau tidak di dewan bergantung kepada waktu seseorang itu berucap.


"Dalam hal ini pentaksub yang lahir semalam, dia tak tahu bahawa urutan (ucapan) ini bergantung kepada banyak faktor


"Secara tidak bernasib baik Malaysia ini di mana ketua kerajaan bukanlah ketua negara. Dia akan beri keutamaan yang mana ketua negara adalah ketua kerajaan contohnya presiden, Presiden Amerika Syarikat, Perancis dan sebagainya. Tetapi kalau ketua kerajaan, Perdana Menteri dia akan pergi selepas ketua negara," katanya.


Khairy turut menceritakan pengalaman beliau menyampaikan ucapan kenegaraan di Pertubuhan Kesihahan Sedunia yang juga menghadai senario hampir serupa apabila timing tidak kena pada waktunya.