9 individu dibawa ke Mahkamah, didakwa curi REE


 Sembilan individu terdiri dari warga tempatan dan asing telah didakwa di mahkamah atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi di Sik, Kedah.


Dipetik laporan Astro Awani, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Baling mengikut Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit.


Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Seorang warga China Li Juemin, 49, dikenakan pertuduhan tambahan kerana melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar pas lawatan sosialnya.

Dia juga dituduh mengambil dan melakukan ujian ke atas sampel tanah yang diambil dari hutan.


Sementara itu, Bernama melaporkan kesemua mereka ditahan ketika cuba meneroka unsur nadir bumi (REE) di kawasan Kompartment 35, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik pada 14 Sept lepas.

"Polis bersama pasukan dari Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah menjalankan Op Bersepadu di sekitar kawasan hutan simpan di Sik dan telah menahan tiga kenderaan di kawasan Kompartment 35.


"Turut ditahan empat lelaki tempatan, empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga China yang berada di situ. Siasatan awal mendapati, mereka sedang mencari lokasi untuk penerokaan REE," kata Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar semalam.


Sementara itu beliau turut mendedahkan, kesemua lelaki itu gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran untuk meneroka sumber REE di kawasan berkenaan, selain tidak mempunyai surat kebenaran untuk memasuki Hutan Simpan Rimba Teloi.


"Lima warga asing ini masuk ke negara menggunakan pas kerja, bagaimanapun pas kerja berkenaan bukan untuk bekerja di Kedah, jadi mereka telah menyalahgunakan pas kerja berkenaan.


"Kita percaya, mereka telah masuk ke kawasan berkenaan sejak empat bulan lepas untuk mencari REE. Kerja-kerja yang dilakukan masih diperingkat awal dan ia tidak ada kena mengena dengan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik," katanya.

No comments: