BERIKUTAN JELAS MELANGGAR UNDANG-UNDANG, 25 PESERTA HIMPUNAN JALANAN ANTI ZAHID HAMIDI WAJAR DIKENAKAN TINDAKAN


Pihak polis dilaporkan telah mengenal pasti 25 individu yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan jalanan “Selamatkan Malaysia” yang diadakan di Kuala Lumpur Sabtu lalu.


Walau berselindung di sebalik hasrat menyelamatkan negara, perhimpunan jalanan itu sebetulnya hanya bermotif politik iaitu membantah DNAA Zahid Hamidi.


Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini, 22 orang sudah dihubungi polis dan enam daripadanya akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.


Beliau juga berkata, perhimpunan itu jelas tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 termasuk penganjur tidak memberi notis lima hari sebelum perhimpunan itu berlangsung.


Kesalahan lain, tambahnya kerana mengadakannya di tempat larangan iaitu masjid dan membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan.


Dengan jelas sekarang bahawa ada undang-undang telah dilanggar, tindakan pihak polis terhadap mereka yang terbabit itu adalah amat wajar sekali.


Mereka tidak harus dibiarkan bebas berbuat sesuatu yang melanggar undang-undang seolah-olah negara ini tiada peraturannya.


Tindakan yang diambil itu bukan bermakna kerajaan tidak lagi mengamalkan kebebasan, tetapi berikutan adanya perlanggaran terhadap undang-undang negara


Dalam hal ini, seruan budiman sesetengah pihak, khususnya daripada kelompok PH sendiri yang menyarankan agar tiada tindakan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam perhimpunan tersebut atas alasan ramai anggota kabinet sekarang pun adalah mereka yang bangkit daripada perhimpunan seumpama itu, tidak harus dilayan atau diberi pertimbangan sama sekali.


Isunya, bukan soal dulu pun ramai pemimpin PH terbabit dan bangkit melalui aura perhimpunan jalanan, tetapi kerana ada undang-undang telah dilanggar.


Jika sebelum ini, ramai pemimpin PH yang terbabit dengan perhimpunan seperti itu turut dikenakan pelbagai tindakan, apa istimewanya mereka yang terlibat sekarang mahu dilepaskan begitu saja?


Biarlah mereka pun dikenakan tindakan juga.


Tindakan tidak harus dikecualikan terhadap sesiapa saja yang didapati melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang.


Dalam hal berkaitan, meskipun tindakan terhadap 25 individu yang melakukan kesalahan itu adalah urusan pihak polis, pelbagai kelompok rakyat biasa juga berharap agar Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasition Ismail tidak berdiam diri mengenainya.


Beliau diharapkan tampil bersuara menunjukkan ketegasan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang menjejaskan ketenteraman awam.


Bukan tidak boleh berhimpun, tetapi patuhi dulu syarat-syarat yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu antaranya, mesti memberi notis lima hari.


Syarat tersebut sangat mudah sebenarnya, bergantung sama ada mahu atau tidak mahu saja mengemukan notis awal iaitu lima hari sebelum tarikh perhimpunan dijadual diadakan.


Sebagai pengajaran awal, 25 individu yang bakal dipanggil itu wajar dikenakan tindakan sewajarnya agar di lain kali, mereka belajar perlunya patuh kepada undang-undang. – ShahbudinHusin 18/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: