UMNO ghairah berkempen PRU-15, tapi pakar ramal ekonomi meleset tahun depan

 

Pakar menjangkakan kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 bulan akan datang, menurut laporan media tempatan.

Hasil kaji selidik yang dijalankan KPMG International, 63 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di rantau Asia Pasifik menjangkakan kemelesetan tersebut tidak boleh lagi dielak dan bakal dihadapi negara.

Ramalan tersebut keluar semasa parti peneraju kerajaan, UMNO-Barisan Nasional (BN) sedang bersiap sedia dengan jentera kempennya untuk memasuki Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Kaji selidik itu mendedahkan lebih separuh (55 peratus) daripada jumlah berkenaan menjangkakan kemelesetan tersebut bersifat sederhana dan singkat manakala 58 peratus pula telah mengambil langkah awal untuk mendepani ketidaktentuan akan datang.Selain itu, kaji selidik tersebut mendapati 73 peratus CEO yakin dengan daya tahan syarikat mereka berdepan cabaran enam bulan mendatang.

“Susulan jangkaan tersebut dalam tempoh enam bulan akan datang, 44 peratus CEO merancang untuk membekukan pengambilan pekerja, 43 peratus menguruskan kos dengan menaikkan harga dan 40 peratus mengurangkan margin keuntungan.

“Lebih membimbangkan, 29 peratus CEO akan memberhentikan sementara atau mempertimbangkan semula usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) manakala 47 peratus bercadang melakukannya dalam beberapa bulan lagi,” kata kenyataan tersebut.

Tinjauan KPMG juga mendapati 45 peratus CEO merancang untuk mempelbagaikan rantaian bekalan masing-masing manakala 40 peratus mensasarkan untuk memindahkan operasi luar negara ke dalam negara atau secara dalaman bagi berdepan kemelesetan.

Sementara itu, Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris menyifatkan pemerhatian berkenaan merupakan pendekatan berisiko.

“Ini bermakna syarikat akan berdepan kesukaran untuk membiayai semula hutang kerana bank menjangkakan kemelesetan dan menjadi lebih berhati-hati dalam pemberian pinjaman.

“Selain itu, apabila kecairan semakin ketat dan kemelesetan menjadi lebih pasti, industri yang sudah tidak disukai bank disebabkan keutamaan ESG mereka, mungkin sebarang bentuk pembiayaan baharu sukar sekali gus mencetuskan isu modal yang memerlukan perancangan rapi,” katanya.

Malaysia dijangka bakal melaksanakan PRU-15 pada masa terdekat selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum memutuskan sebarang tarikh namun kesemua parti termasuk parti Perdana Menteri sementara – UMNO sedang giat berkempen awal bagi menghadapi PRU-15.

Hari ini (17 Oktober 2022),  Ismail Sabri memberitahu Bajet 2023 yang dibentang awal bulan ini bakal dibentang sekali lagi hujung tahun ini.

Malah beliau sebelum ini turut menegaskan kerajaan mempunyai wang untuk melaksanakan Bajet 2023 yang juga belanjawan terbesar pernah disediakan membabitkan peruntukan RM372.3 bilion.

Untuk rekod, Ismail Sabri berdepan dengan tekanan Presidennya sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mendesak agar PRU-15 disegerakan tanpa mengambilkira faktor musim banjir dan kesusahan dihadapi oleh rakyat ketika ini susulan kenaikkan inflasi yang mendadak.