Subsidi rendah Bajet 2023, bagaimana nak hadapi ekonomi meleset?
Kemelesetan ekonomi global pada 2023 berikutan perang Rusia – Ukraine yang diramal berlanjutan pada tahun hadapan dan krisis harga bahan api serta makanan global sepatutnya menjadi pertimbangan utama kerajaan BN memperuntukkan bantuan kepada rakyat dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan semalam.
Malangnya, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil perkara itu kelihatan tidak diutamakan malah kerajaan mengambil langkah kontra dengan memotong subsidi terhadap rakyat.
“Belanjawan 2023 jumlahnya besar tetapi bila kita bandingkan dengan 2022 secara keseluruhannya, ia tidaklah sebesar apa yang telah dibelanjakan (untuk ekonomi gunaan) pada tahun ini
“Ada pihak berpandangan dengan jumlah lebih kecil dibelanjakan, adakah negara akan dapat perkembangan ekonomi serancak yang kita inginkan.
“Pada masa sama, ada beberapa perkara yang sedikit merisaukan. Memang ada kelegaan kepada komuniti yang mendapat manfaat termasuk peningkatan, sama ada gaji atau pun Bantuan Keluarga Malaysia, juga kita lihat ada sikit pemotongan cukai dan isu subsidi. Namun isu utama kita lihat ialah nilai mata wang ringgit dalam keadaan membimbangkan (yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat)
“Saya tidak tahu adakah situasinya subsidi akan ditambah atau pun kekal pada satu angka yang pada waktu ini tidaklah terlalu besar,” katanya dalam satu siaran media mengulas Belanjawan 2023.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak menyembunyikan kegusarannya terhadap merudumnya nilai matawang ringgit sejak 2 bulan kebelakangan ini.
Katanya, hal itu akan amat mengesankan terhadap harga barang barang pengguna yang diimport atau para peniaga yang bergantung kepada barangan dari luar negara.
“Bila kita lihat matawang ringgit rendah berbanding dollar maka ia bermaksud harga barang kita import sama ada makanan atau bahan lain input kepada ekonomi, ia akan ada kesan dari segi kos.
“Beberapa peniaga yang import bahan bahan bila saya bercakap, mereka kata memang mereka merancang perniagaan (bersedia) untuk nilai ringgit pada tahap lebih rendah daripada sekarang.
“Apa perancangan kerajaan seperti Menteri Kewangan untuk mengatasi masalah ini dan apa kesannya kepada barangan asas seperti bawang, beras, cili dan lain lain yang kita import?” tanyanya.
Dalam isu pendapatan kerajaan pula, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu tertanya tanya berhubung apakah dividen khas Petronas akan terus menjadi tempat bergantung kerajaan untuk mendapatkan hasil.
Dalam masa sama, katanya, Laporan Ketua Audit Negara terus menimbulkan keresahan apabila ketirisan masih menjadi isu mengugat dalam keadaan negara ketiadaan wang.
“Terbaharu Ketua Audit Negara menegaskan masalah hutang kerajaan agak membimbangkan.
“Saya lihat minggu akan datang sekiranya Parlimen tak bubar, ramai Ahli Parlimen akan berbahas isu bajet. Contohnya jumlah diumum untuk internet jalur lebar dan ketersambungan 5G. Apakah nilai suntikan kerajaan kepada syarikat DNG?
“Para penganalisa pertahanan pula ada berkata nilai RM17 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan bukan satu nilai besar.
“Bila kita teliti masalah seperti kapal LCS yang telah kita belanjakan RM6 bilion tetapi tidak siap, penelitian usaha menyiapkan kapal pertama apakah akan menelan lebih banyak belanja,” kata Fahmi mengakhiri analisa ringkas beliau sebagai pengantar kepada perbahasan Parlimen Belanjawan 2023 yang akan berlangsung sepanjang beberapa minggu akan datang.