NIK HASYUDEEN
Di mana kedudukan tukaran Ringgit dan USD?
Bagi orang-orang yang berumur 23 tahun ke bawah, mereka
dilahirkan selepas Krisis Kewangan Asian 1997-1998. Mereka tidak mengalami
zaman yang mana pasaran saham jatuh merudum, nak dapat pinjaman bank susah,
banyak bangunan dilelong dan sebagainya.
Di dalam suasana ekonomi sedemikian, kadar tukaran Ringgit
kepada Dollar Amerika (USD) naik dari lebih kurang 2.5 kepada 4.4. Ada pelbagai
khabar angin bahawa kadar ini akan mencecah 5. Maka kerajaan di masa itu telah
mengikat (peg) kadar tukaran kepada 3.80. Ini berjalan sehinggalah tahun 2015.
Minggu ini kadar tukaran Ringgit USD telah mencecah tahap
psaikologi 4.5. Kedudukannya hampir sama dengan era krisis seperti yang
dinyatakan di atas. Tidakkah ini memerlukan tindakan yang serius bagi
menstabilkan nilai Ringgit?
Bagi saya, tindakan BNM menaikkan OPR kepada 2.25 adalah amat
munasabah dan lembut. Kita kena ingat OPR sebelum bermulanya Pandemik Covid-19
ialah 2.75. Kadar tukaran Ringgit USD di ketika itu ialah dalam 4.20.
Dasar monetori yang diuruskan oleh bank-bank pusat seperti BNM
adalah bagi menjamin kestabilan harga. Apabila ekonomi dibuka selepas Pandemik
Covid-19, kegiatan ekonomi menjadi rancak dan permintaan meningkat. Di dalam
masa yang sama, bekalan masih belum pulih ke tahap sebelum pendamik kerana
pelbagai kekangan. Di Malaysia, di antara sebab utama ialah bekalan buruh yang
terhad sehinggakan industri seperti kelap sawit pun rugi dengan besar kerana
buah yang ranum di atas pokok tidak dapat dituai kerana pekerja asing tidak
boleh masuk.
Satu lagi masalah selepas pembukaan ekonomi ialah kerencatan
rantaian bekalan. Kapal di laut tak cukup. Kapalterbang belum terbang semua dan
sebagainya. Syarikat pengangkutan amat berhati-hati untuk menormalisasi
perniagaan mereka kerara takut penutupan ekonomi berlaku kembali. Jadi, kos
pengangkutan naik. Bila harga minyak dan gas pun naik disebabkan permintaan
yang mendadak, lagilah mahal kos pengangkutan.
OPR yang rendah menyebabkan kos pinjaman/pembiayaan rendah. Ini
menjadikan pengguna tidak begitu memikirkan kos ini apabila membuat
pinjaman/pembiayaan dan berbelanja. Ini menyumbang kepada peningkatan
permintaan.
Apabila permintaan tinggi dan bekalan terhad, harga barangan
secara semula jadinya akan naik. Di negara-negara lain, kenaikan harga
ditanggung sebahagian besarnya oleh rakyat. Hanya apabila ianya melampau
barulah kerajaan campur tangan. Di negara ini lain pula kaedahnya. Semua kena
ditanggung oleh kerajaan. Walaupun kerajaan mendapat pendapatan tambahan
disebabkan kenaikan harga minyak, ianya tidak sama dengan pertambahan kenaikan
perbelanjaan disebabkan subsidi. Jadi kena pinjam dan ini akan dibayar di masa
hadapan oleh anak cucu kita. Ibubapa dan tok nenek mereka sebenarnya mengambil
apa yang sepatutnya dirasai oleh generasi yang akan datang.
Kenaikan OPR perlu dilihat di dalam beberapa aspek:
1. Kadar OPR masih rendah jika dibandingkan dengan kadar sebelum
pendemik
2. Kadar tukaran Ringgit USD berada di tahap yang lebih kurang
dengan tahap semasa krisis kewangan di akhir tahun 90an
3. Bank Pusat Amerika dengan tegas menyatakan mereka mahu
menurunkan inflasi dari lebihkurang 8% sekarang kepada 2% tak kira apa nak
jadi. Caranya ialah dengan menaikkan lagi kadar faedah di sana.
4. Apabila kadar faedah di Amerika naik, kadar tukaran Ringgit
USD akan lebih tertekan kerana aliran dana akan lebih deras mencari USD. Ingat,
kadar tukaran Ringgit USD sekarang agat tidak mententeramkan.
5. Oleh kerana kita menggunakan USD di dalam kebanyakan impot,
kita akan mengimpot lebih banyak inflasi jika kadar tukaran Ringgit menurun
lagi. Naik lagi harga barang.
Oleh itu kenaikan kadar pinjaman domestik akan mengurangkan
perbezaan kadar faedah (interest rate differential) yang boleh menstabilkan
kadar tukaran asing. Di dalam masa yang sama ianya juga akan menstabilkan permintaan
yang disasarkan untuk mengurangkan kadar inflasi.
Sebagai rakyat, kita kena cuba ambil tahu perkara-perkara asas
di dalam pentadbiran dan pengurusan negara seperti polisi monetori ini. Jadi,
barulah permintaan dan juga desakan kita menjadi lebih munasabah. Jika polisi
populis dibuat hanya supaya kita mengundi dengan bahagia, apa yang nak kita
terangkan kepada cucu cicit kita berkenaan warisan hutang yang mereka kena
pikul sebab kita nak bahagia setiap masa?
Anda semua bebas untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan
pandangan saya. Saya suka melihat sesuatu dari gambaran yang lebih besar dan
tidak meletakkan kepentingan semasa lebih besar dari apa yang saya kita
kepentingan yang lebih besar dan munasabah. Jika tok nenek kita bersusah payah
untuk menyenangkan kita, di mana semangat itu di dalam kontek cucu cicit kita
pula?