Tangani segera kenaikan tambang Grab
Peningkatan tambang perkhidmatan e-hailing Grab sejak kebelakangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.
Menurut laporan, pengguna merungut kerana tambang dinaikan sehingga sekali ganda di luar waktu puncak.
Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, Menteri pengangkutan Wee Ka Siong perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan undang undang. Biar pun ketika ini kementerian tidak menetapkan harga tambang perkhidmatan e-hailing namun ketegasan perlu ditunjukkan agar pihak pengendali tidak bertindak menggunakan alasan remeh.
“Menteri ada sebut (dalam isu kenaikan tambang). Dia kata banyak perkara telah dilonggarkan untuik e hailing ini, jadi dia kata kita tak boleh jadikan itu (kesesakan, kurang pemandu) sebagai alasan sebab banyak benda kita dah beri.
“Tetapi bagi saya kena ada satu penelitian dibuat ke atas sebab kenapa tambang ini dinaikkan. Terutama dalam keadaan rakyat susah, harga barang naik tetapi tambang makin naik. Adakah kerana ini keuntungan kepada pengusaha atau kepada pemandu?” tanyanya.
Tambah Syed Ibrahim, alasan kesesakan teruk pada fasa endemik Covid 19 atau kekurangan pemandu tidak boleh digunakan dengan mudah untuk menaikkan tambang.
Malah, kata beliau, pemandu syarikat e-hailing juga merungut mereka dikenakan caj tinggi oleh pihak syarikat.
“Sedangkan sekarang komisen (kepada) syarikat tinggi, driver tak dapat banyak, mereka merungut.
“Mereka kata kena bayar senggaraan, bayar minyak. Di situ kita mesti faham punca sebenar kenapa tambang perlu dinaikkan. Tidak dengan mudah dinaikan. Harap Menteri Pengangkutan teliti hal ini,” katanya.
Tambah Syed Ibrahim, sekiranya Grab dibenar menaikkan tambang dengan alasan yang mereka berikan maka berkemungkinan teksi yang dikawal ketat oleh Kementerian Pengangkutan pun akan membuat tuntutan menaikkan tambang.
Dalam hal itu, katanya, rakyat akan menjadi mangsa ketika ekonomi mereka belum pulih sepenuhnya.
“Teksi juga akan naik tambang, mesti ada rantaian dia. Seperti rantaian makanan,” katanya lagi.
Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, syarikat pengendali e-hailing dibenar untuk mengenakan caj iaitu tambang asas dan surcaj.
Manakala kerajaan tidak mengawal tambang asas, dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.
Pengendali pula dibenarkan menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan dengan pengguna dalam pasaran terbuka.