Penyelamatan Sapura Energy Berhad dalam apa keadaan sekali pun
tidak boleh menggunakan dana rakyat sebagaimana dicadangkan oleh mantan Perdana
Menteri Najib Razak.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, tidak kira kerajaan
mana yang mahu menyelesaikan masalah Sapura, dana berkaitan entiti kerajaan
tidak seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan swasta.
"Apabila saya bersuara sebarang usaha untuk menyelesaikan
kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, Najib menimbulkan
isu kerugian wang rakyat melalui pegangan PNB di dalam Sapura, kehilangan
kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.
"Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan syarikat
korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya
urus tadbir yang lemah. Sekiranya syarikat-syarikat swasta diselamatkan oleh
wang rakyat setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada
pertanggungjawaban untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka
dengan cermat, bijak dan berdaya saing.
"Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura
sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran
kepada pengarah-pengarah eksekutifnya yang juga mewakili beberapa pemegang
saham terbesar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Rafizi yang juga akauntan bertauliah mendakwa berjaya
mengesan bayaran yang terlalu tinggi dan tidak wajar dalam laporan kewangan
Sapura yang telah menekan kewangan syarikat terbabit sejak sekian lama.
Katanya, gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang
mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari (2013: RM123,351 sehari, 2014:
RM313,422 sehari, 2015: 245,893 sehari, 2016: 250,693 sehari, 2017: RM242,970
sehari, 2018: RM102,321 sehari, 2019: RM35,693 sehari, 2020: RM26,293 sehari
dan 2021: RM16,586 sehari) begitu juga pengarah eksekutif dibayar dalam bentuk
lain
Rafizi turut mendakwa menemui beberapa masalah yang menyukarkan
Sapura untuk bergerak dan mengembangkan operasi berasaskan keuntungan sektor
minyak dan gas.
"Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang
berkaitan pengarah eksekutif dan pemegang saham yang mereka wakili sejumlah
RM149 juta. Ia dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.
"Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh
2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan
Sapura Energy Berhad menggunakan nama “Sapura” yang dilesenkan oleh pemegang
saham," katanya.
Manakala bagi tempoh 2009 hingga 2021, dakwa Rafizi, terdapat
analisis kewangan yang menunjukkan beberapa perkara yang bermasalah.
Dakwanya, Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu yang mewakili
pemegang saham majoriti sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang
dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.
"Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar
yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga kali ganda berbanding yang
diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.
"Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan
Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul
amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan
KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka
"Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan
kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat
kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat
pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?" tanyanya
Oleh itu, sebagai penyelesaian, Rafizi berkata, secara bersiri
beliau akan membentangkan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk
memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan dan mengelakkan ribuan
kakitangannya kehilangan kerja.