Strategi
menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 mungkin terbahagi kepada dua, sama ada
bagi KEADILAN mahu pun Pakatan Harapan (PH).
Wujud pihak yang memilih untuk bertahan memandangkan kekalahan KEADILAN dan Amanah dalam 3 siri Pilihan Raya Negeri baru baru ini.
Namun ada pihak yang berpendapat, selepas pemilihan KEADILAN keadaan pasti akan lebih baik kerana masuknya pimpinan yang pernah berjasa memenangkan PH dalam PRU 14 lalu.
Bagi Ahli Parlimen Kangar, Amin Ahmad, strategi yang terbaik tentunya perlu diputuskan oleh kepimpinan selepas Pemilihan KEADILAN 2022.
Katanya, jika PH ada peluang menang pada PRU 15 maka mereka perlu menang demi menyelamatkan negara.
"Matriks dalam politik banyak dan pelbagai. Kita katakan personaliti Rafizi agak kuat dan popular tetapi tidak semestinya pandangan beliau bahawa PH atau KEADILAN perlu bergerak sendiri (diterima). Itu cukup untuk menggarap kekuatan untuk menang (sebagai pembangkang yang kuat dahulu).
"Tetapi jika beliau menyasarkan PRU 16 maka itu sesuai dengan kemenangan 80 kerusi itu (sebagaimana dinyatakan Rafizi sebelum ini).
"Tetapi ramai pimpinan lain saya percaya, bila kita mahu pergi PRU 16 tentunya kita melalui PRU 15. Kalau kita mampu melakukan yang terbaik dalam PRU 15 kenapa kita perlu tunggu PRU 16?" katanya dalam forum maya bertanjuk "Pemilihan: Ke Mana Hala Tuju PKR" terbitan Sumberkini, malam tadi.
Menyentuh isu pemilihan parti, Amin optimis pemilihan KEADILAN kali ini akan mengukuhkan parti meskipun ada pihak berkata mungkin akan berlaku perpecahan.
Kata Amin, hakikatnya pemilihan akan meletakkan pemimpin yang dipilih ahli pada tempatnya dan bukan yang dilantik sebagaimana selepas Langkah Sheraton yang lalu.
"Saya secara prinsip yakin persaingan ini perlu dipupuk.
"Inilah juga sifat KEADILAN yang menjadi sebab kestabilan dalam parti lebih sukar berbanding parti lain kerana KEADILAN ini ditubuhkan di jalanan.
"Mereka berani berhadapan pihak berkuasa yang keras. Dengan pihak berkuasa pun mereka berani berlawan, jadi apalah sangat kerana mereka anggap dalam parti mereka perlu berkeras dengan pilihan mereka.
"Bagaimanapun sekiranya anggota parti terlibat secara mendalam, kita berharap KEADILAN akan jadi kuat apabila selepasi pemilihan," katanya.
Selain itu, Amin juga telah membuat beberapa tinjauan, terutama di Twitter berkenaan hala tuju parti selepas kekalahan PRN Johor lalu
Katanya, meskipun tinjauan itu kurang positif namun kepimpinan baharu KEADILAN perlu merangka satu strategi yang meyakinkan untuk rakyat kembali mengundi PH dalam PRU 15.
"Desakan supaya parti pembangkang bersatu, saya pernah ambil pandangan umum secara ringkas di twitter yang mana jawapan telah diberikan oleh 2,000 orang apabila saya tanya mengenai masa depan pembangkang.
"Ada berpandangan PH boleh bergerak sendiri dan ini lebih 40% pengundi. Yang lain ada jawab PH perlu kerjasama dengan PN dan satu lagi pilihan perlu meraikan khemah besar
"Daripada jawapan saya terima, saya lihat dinamik kesulitan keputusan yang perlu dibuat kepimpinan. Kalau pimpinan ambil 60% ada 40% lagi pandangan berbeza," katanya lagi.
Mengenai soalan adakah KEADILAN akan menuju jalan sukar, Amin bagaimanapun menyatakan hal itu tidak tepat kerana detik parti berada di kedudukan terbawah seperti selepas PRU 2004 telah berlalu, dan kini parti lebih besar serta berpengaruh.
Katanya, sekiranya strategi yang dirangka lebih sesuai dan memenuhi hasrat rakyat maka parti akan melakukan kejutan dalam PRU 15