'Orang kaya undi BN dapat faedah, orang susah dapat apa?'






Pengundi dalam Pilihan Raya Negeri Johor diseru menamatkan kekuasaan BN pada 12 Mac ini dan melantik Kerajaan Negeri yang baharu.



Hal itu ditegaskan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah umum di Felda Medoi, DUN Pemanis, petang semalam.

Menurut Anwar, pemimpin dan kerajaan yang dilantik perlu mengutamakan rakyat bukannya menjaga tauke, konglomerat dan orang atasan sahaja.

"Kita pilih orang di Parlimenn nak bercakap bagi pihak siapa? Kita pilih orang di Dewan Undangan Negeri nak bercakap bagi pihak siapa?

"Ini yang menjadi isu, bukan berebut jawatan macam sekarang. Elaun menteri naik. Jumlah menteri naik, pendapatan exco naik.

"Tetapi kita minta orang berpendapatan rendah bagi gaji minima, apa PM jawab, tak boleh, saya dah bincang dengan tauke mereka tak setuju. Konglomerat besar, Tan Sri tentu tak setuju gaji minima. Kamu tanya orang kaya bagi gaji minima, dia tak nak. Tanya rakyat lah, pekerja. Sebab itu kita kata kena dengar suara kesatuan sekerja," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu membawa contoh bagaimana banjir di Pahang merugikan rakyat apabila beribu ribu batang balak merempuh rumah orang kampung. Namun, katanya tiada satu syarikat balak yang membayar ganti rugi.

Pemimpin politik pula tidak mendesak syarikat tersebut menanggung kos baik pulih rumah. Malangnya, kata beliau, masih ada pengundi yang menyokong kerajaan seperti itu.

"Saya bagi contoh di Pahang pembalakan. Balak turun rempuh rumah orang. Rakyat dapat apa? Dapat balak? Dia tak dapat, balak diambil oleh tauke dia. Dia dapat bala.

"Balak satu tahun eksport RM21 bilion, nak ganti rugi RM30,000 rumah kena langgar balak tak boleh. Sebab pemimpin itu mewakili tauke kaya, Melayu, Cina, India tetapi yang miskin Melayu, Cina, India, Orang Asli diabaikan. Itu pun pilihan raya yang miskin sokong juga.

"Kalau orang kaya saya faham mereka dapat faedah. Orang susah ini dapat apa? Merdeka lebih 60 tahun pemimpin kaut begitu sahaja," katanya.

Selain itu, Anwar juga menegur kerajaan BN yang mengadakan pilihan raya tetapi menyukarkan kempen bagi parti parti pembangkang.

Katanya, tanpa ceramah besar pembangkang tiada medium untuk menyampaikan mesej kepada rakyat kerana tidak mungkin ucapan mereka disiarkan di media arus perdana.

"Ceramah besar besar tak boleh. Kalau dulu bebas buat ceramah besar. Mereka yang datang tak mestinya ahli. Mereka datang boleh dengar fakta. Sekarang tak boleh. Kempen ikut RTM, TV3, mampus kita mereka siar menteri sahaja.

"Oleh itu jangan bagi Umno (menang). Sombong sangat. Kami menang di Melaka nak tunjuk menang besar di Johor. Menang untuk apa? Menang ini untuk rakyat bukan nak tunjuk kamu besar. Takabur.

"Orang kalau takabur kalahkan dia dalam pilihan raya," katanya lagi.