Peluang kerja yang kurang di Johor menyebabkan ratusan ribu
penduduknya terpaksa berhijarah ke Singapura akan diatasi oleh KEADILAN dan
Pakatan Harapan (PH) sekiranya diberi mandat pada 12 Mac ini.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, aliansi atau pakatan ekonomi antara Singapura - Johor - Indonesia akan segera dibina untuk mewujudkan lebih banyak peluang perkerjaan khususnya kepada anak muda bangsa Johor.
"Apa yang diperlukan sekarang bukannya perebutan kuasa tetapi perancangan dasar dan pelaksanaan program yang benar benar utamakan rakyat dan boleh mengeluarkan negeri Johor, negara serta rakyat daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik.
"Mengapa jurang pembangunan antara daerah dan wilayah di Johor terus melebar dan seolah-olah tiada perancangan menyeluruh?
"Mengapa tiada usaha untuk menarik pelaburan industri strategik yang menawarkan pekerjaan berkualiti kepada para graduan kita sedangkan strategi perkongsian “Win-Win” dengan Singapura dan Indonesia di rantau “SIJORI Growth Triangle” (Singapura-Johor-Riau) boleh meningkatkan pelaburan langsung asing?" tanyanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama di Johor Bahru, pagi tadi.
Ahli Parlimen Ledang itu juga turut mengkritik perancangan Kerajaan Negeri yang diterajui BN sebelum ini yang tidak dirangka sebaik baiknya dalam mengelakkan jangkitan Covid 19 meluas dalam kalangan rakyat sehingga menyebabkan banyak yang kehilangan nyawa.
Beliau juga mengkritik ketidakberdayaan Kerajaan BN menyediakan pekerjaan di kawasan kawasan selain Johor Bahru dan Pengerang, malah di Tanjung Piai yang bersebelahan Sungapura pun, menyebabkan pengangguran tinggi manakala graduan tidak mendapat kerja yang sepadan.
"Kadar pengangguran pada tahun 2021 naik kepada 4.6 peratus berbanding 4.5 peratus pada tahun 2020 yang mana kadar pengangguran tertinggi sejak tahun 1993.
"Ramai anak muda berpelajaran tinggi bekerja sebagai juruwang, pekerja sambilan dan ada yang menganggur. Pekerja tempatan pula dipotong gaji dan ramai yang dibuang kerja.
"Ramai yang jatuh miskin menambah kepada peratusan miskin bandar terutama di bandaraya Johor Bahru dan sekitarnya," katanya.
Syed Ibrahim juga mencabar kerajaan BN membuka pintu sempadan Johor - Singapura sebelum hari mengundi agar rakyat yang berkerja di republik itu boleh pulang mengundi dengan mudah.
"Mengapakah pembukaan sempadan Malaysia – Singapura tidak dapat dilaksanakan lebih segera? PM umum akan dibuka pada 1 April.
"Menteri Besar kata SOP untuk rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk berulang alik akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Saya percaya sepatutnya masa terbaik untuk laksanakan hal ini ialah pada PRN Johor pada 12 Mac ini," katanya.
Justeru, Syed Ibrahim mahu generasi muda yang akan mewarisi Johor untuk puluhan tahun ke hadapan agar berfikir dengan lebih rasional dalam melantik kerajaan yang mampu memberi kemakmuran, bukannya mengulangi gaya pentadbiran lama yang statik dan membosankan.
"Pada tanggal 12 Mac ini, rakyat wajar memilih wakil-wakilnya yang faham akan situasi sekarang dan bersedia berkhidmat serta angkat suara rakyat Johor. Mengekalkan wakil BN dan PN bermakna mengangkat budaya rasuah, khianat serta percaturan sempit politik.
"Mudah-mudahan calon KEADILAN diberi keyakinan menjadi wakil rakyat. Calon-calon KEADILAN akan tetap berjuang demi rakyat dan masa depan yang bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya lagi.