Siasatan ke atas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah
Ismail petang tadi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur dibuat
berdasarkan tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang mengaitkan
nama mantan Timbalan Perdana Menteri itu dalam buku beliau.
Menurut Dr Wan Azizah, pengawai penyiasat mengarahkannya datang
untuk memberi keterangan berkaitan buku itu dan ditanyakan 4 soalan.
"Saya dipanggil berdasarkan saya diminta menjawab soalan
mengenai nama saya (dikaitkan dalam buku)
"Sekejap sahaja, 4 soalan. Dia (pegawai penyiasat) tanya apa
yang pendapat Tommy Thomas. Itu pendapat dia," katanya ringkas kepada
wartawan setelah diganggu beberapa kali pengumuman dari pembesar suara polis
yang mengarahkan pihak media memastikan Prosedur Operasi Piawai (SOP) Covid 19
dipatuhi.
Sementara itu, peguam beliau yang juga Ahli Parlimen Selayang,
William Leong Jee Keen menjelaskan soal siasat polis hanya berkisar kepada
tulisan Tommy tentang Dr Wan Azizah dalam buku 'My Story; Justice in the wilderness'.
Bagaimanapun beliau tidak memberi butir butir pertanyaan pihak polis.
Manakala Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata,
beliau tidak faham apakah tujuan sebenar siasatan tersebut dibuat.
Menurut Nurul, banyak individu dipanggil untuk diambil keterangan
berdasarkan buku berkenaan namun adakah siasatan itu dilakukan mengikut
keutamaan tugas polis?
"Walaupun YB William berkata siasatan berkaitan buku, kepada
saya ini terang terangan intimidasi politik
"Saya melihat salah guna aset negara, iaitu pihak polis yang
digunakan bagi menyiasat (hal politik) dan (sepatutnya) menyelesaikan masalah
rakyat.
"Kepada Menteri Dalam Negeri tolonglah hentikan
intimidasi," katanya.
Nurul menegaskan menteri yang bertanggungjawab harus melihat
keutamaan tugas polis terhadap isu isu jenayah dan bukannya hal hal remeh
lainnya.
"Tentunya kita hormati anggota polis. Mereka melakukan
tugasan tetapi punca kuasa mereka yang mengeluarkan arahan haruslah mengambil
tanggungjawab, lebih lebih lagi mengaitkan buku salah seorang bekas Peguam
Negara," katanya lagi.