Dr M antara punca perpecahan kaum, kata P Ramasamy

 

P Ramasamy berkata, Mahathir terus menyatakan benda yang berulang kali tetapi banyak orang mungkin sudah muak dengan kenyataan berkenaan.

PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy mendakwa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjadi satu daripada faktor mengapa negara masih tidak bersatu padu.

Ramasamy berkata, Mahathir masih menggunakan hujah lama iaitu dasar memberikan keutamaan kepada Bumiputera.

“Mahathir terus menyatakan benda yang (sama) berulang kali tetapi banyak orang mungkin sudah muak dengan kenyataan-kenyataan ini,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, Mahathir bukan pemerhati luar, malah salah seorang penyebab utama bagi pelaksanaan sistem yang memberikan layanan istimewa kepada elit politik dengan alasan bahawa ini akan membantu menangani keperluan khas orang Melayu miskin.

“Tetapi Mahathir gagal menyebutkan bahawa DEB yang dimaksudkan untuk orang Melayu miskin dirampas oleh Umno untuk memperkayakan golongan elit Melayu dan mereka yang mempunyai kaitan dengan elit politik.

“Mahathir tidak dapat menafikan hakikat bahawa ahli politik yang dikaitkan dengan Umno telah memperoleh banyak faedah material termasuk ahli keluarganya sendiri.

“Bukan anak-anak dan keluarga mereka yang sangat memerlukan faedah daripada dasar ini tetapi golongan miskin,” katanya.

Ramasamy berkata, inilah sebab mengapa DEB tidak pernah diberi tempoh had masa.

Katanya, kegigihan ideologi perkauman dan mengapa ia dipertahankan untuk mengakibatkan perpecahan masyarakat yang mendalam sebenarnya berkait rapat dengan proses untuk memperkayakan diri tanpa henti.

“Apabila proses seperti itu terhalang oleh beberapa peristiwa luaran, langkah-langkah baru diperkenalkan untuk memastikan proses perolehan eksklusif ini tidak terganggu,” katanya.

Ia termasuk isu usaha untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera kepada 51% dalam perniagaan penghantaran barang yang akan dikuatkuasakan Disember depan.