HARAPAN KEPADA AGONG DAN MAJLIS RAJA-RAJA– PILIHLAH PM YANG BOLEH SELAMATKAN MASA DEPAN NEGARA

 

Petang ini Majlis Raja-Raja akan bermesyuarat untuk memutuskan siapa Perdana Menteri yang akan dipilih menerajui negara bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mahiaddin Md Yasin.

Walaupun Yang Dipertuan Agong telah memanggil menghadap 114 Ahli Parlimen yang dikatakan bersetuju menyokong Ismail Sabri Yaakob untuk mendapat pengesahan sokongan mereka, tetapi nampaknya belum ada kata putus Naib Presiden UMNO itu bakal dilantik sebagai Perdana Menteri.

Banyak khabar angin berlegar selepas Ahli-Ahli Parlimen dipanggil ke Istana Negara semalam, apa lagi wajah-wajah yang keluar selepas menghadap itu tidak ternampak ada yang bermuka ceria.

Ramai pula daripada mereka terus mendiamkan diri tidak berkata apa-apa, waima menulis hal-hal lain di media sosial pun tidak lagi kelihatan.

Meski pemilihan Perdana Menteri ialah berdasarkan siapa Ahli Parlimen yang pada kepercayaan Agong memiliki sokongan majoriti, tetapi suasana kali ini jauh berbeza.

Kali ini Agong bukan memilih Perdana Menteri selepas keputusan pilihanraya, tetapi setelah kerajaan lama gagal dan tidak mampu bertahan

Gagalnya kerajaan PN daripada bertahan bukan saja kerana tiada lagi sokongan majoriti, malah disebabkan rakyat sendiri secara majoritinya menolak, mengecam dan menghentamnya setiap hari lantaran tidak upaya menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda.

Siri kegagalan PN dalam mentadbir negara sudah tak terhitung dan ia gagal dalam hampir semua perkara, termasuk dalam perkara mudah seperti memberi face mask percuma dan menunaikan janji memberi 150 ribu laptop kepada pelajar-pelajar miskin yang memerlukan.

Jika Mahiaddin gagal, Ismail Sabri yang lebih tidak berkemampuan serta pewaris kerajaan gagal sebelum ini sudah pasti lebih mudah menuju kegagalan.

Lantaran itu, di sebalik ada majoriti dimilikinya, itupun terlalu tipis iaitu cuma 114 saja, diharapkan Agong dan Majlis Raja-Raja melihat aspek yang lebih khusus iaitu kemampuan Ismail Sabri sendiri untuk menangani krisis, memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan keupayaan untuk berdiri sama tinggi dengan pemimpin lain di pentas antarabangsa.

Tambahan lagi, selepas krisis Covid19 ini, negara kita memerlukan lebih bantuan daripada negara-negara kaya dan pelabur syarikat mega antarabangsa untuk melaburkan wang mereka di negara kita.

Itulah sebabnya kita memerlukan Perdana Menteri yang bukan biasa-biasa, tidak bertaraf kampungan atau pemimpin yang sekadar mampu berceramah di pentas tepi gerai ketika PRK saja.

Kalau tidak, selepas era Mahiaddin yang gagal ini, negara kita bukan saja tidak mampu bergerak ke depan, malah akan mengundur ke belakang dengan rakyat terus dibelenggu kesusahan dan kepayahan untuk mencari sesuap nasi bagi meneruskan kehidupan.

Maka dengan itu, harapan kepada Agong dan Majlis Raja-Raja cuma satu, pilihlah Perdana Menteri yang diyakini mampu menyelamatkan masa depan negara ini.

Selain itu, sokongan bersyarat PN kepada Ismail Sabri sebagaimana disebut Mahiaddin dalam kenyataan medianya dengan sendirinya sudah boleh menjadikan sokongannya terbatal dan tidak sah kerana melanggar titah Agong sendiri.

Maka, sudahlah calonnya diketahui tidak begitu berkemampuan dan mempunyai keupayaan yang terhad, sokongannya pun tidak lagi dikira ada majoriti.

Dengan yang demikian, blok pembangkang dengan sokongan 105 adalah memiliki sokongan paling tinggi sekali sekarang ini serta paling dekat dengan majoriti.

Tidak itu saja, calon blok pembangkang iaitu Anwar Ibrahim juga tidak perlu diperkenalkan lagi dari segi keupayaan mentadbir, ada rekod kejayaan sebelum ini, memiliki rangkaian kenalan di kalangan pemimpin dunia, dikenali di peringkat antarabangsa dan tidak terkecuali, mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi dan berdialog dengan pelabur serta peneraju syarikat-syarikat besar pelbagai negara bagi meyakinkan mereka untuk melabur dan memulihkan ekonomi kita.

Begitu pun, dengan kuasa yang ada pada Agong dan Majlis Raja-Raja, boleh juga diarahkan agar dibentuk kerajaan perpaduan dengan Anwar mengetuainya agar menjelang PRU15 akan datang, tidak lagi berlaku kecelaruan atau huru-hara politik yang berpanjangan.

Melalui kerajaan perpaduan, bukan saja kerajaan yang aman dan nyaman dapat diwujudkan, malah Perdana Menteri baru nanti boleh memberi fokus yang lebih untuk menarik pelabur luar merancakkan perkembangan ekonomi negara kita.

Lebih baik lagi kiranya dalam kerajaan perpaduan itu nanti gandingannya ialah Anwar dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li. –


 ShahbudinHusin 20/08/2021.