Perwakilan PKR boleh bahas dakwaan kerjasama dengan Umno, termasuk ‘perbualan Anwar-Zahid’ pada kongres Jun

 

PETALING JAYA: Pimpinan PKR memberi kebebasan penuh kepada perwakilan membahaskan dakwaan kerjasama parti itu dengan Umno, termasuk rakaman perbualan kontroversi, dikatakan antara presiden parti, Anwar Ibrahim, dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pada kongres Jun ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, berkata semua perwakilan diberi ruang “seluas langit dan bumi” untuk berbahas, ketika ditanya sama ada mesyuarat agung tahunan kali ini akan membincangkan dakwaan Anwar berbual dengan Zahid selepas Perhimpunan Agung Umno 2020 dan usaha mewujudkan jajaran politik baharu dengan Umno.

“Perwakilan nak bahas apa dia bahaslah. Lagipun ini kongres nasional tahunan, mereka patut diberi ruang seluasnya untuk diberi pandangan, teguran, setuju (atau) tak setuju. Mereka boleh sebut apa sahaja termasuk (itu),” katanya pada sidang media.

Kongres PKR akan bersidang selama dua hari pada 5 dan 6 Jun. Ia akan dijalankan secara maya dan fizikal, mengambil kira pandemik Covid-19.

Satu rakaman audio didakwa mirip suara Anwar dan Zahid didedahkan di media sosial, selepas selesai Perhimpunan Agung Umno 2020 pada awal bulan lepas, di mana parti itu mengesahkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, Anwar, dan DAP.

Anwar dan Zahid nafi perbualan berkenaan, yang dikatakan berlaku selepas perhimpunan itu.

Sementara itu, Saifuddin yakin kongres kali ini akan bebas daripada kejadian baling kerusi atau keganasan lain sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

“Daripada laporan mesyuarat cabang, kami dapati dalam kalangan anggota parti sangat fokus kepada PRU, isu kekuatan parti, dan isu rakyat. Ia memberikan gambaran awal tidak akan berlaku seperti yang telah terjadi sebelum ini,” katanya.