Tanggal 3 Mei setiap tahun kita kembali mengingati Hari
Kebebasan Akhbar Sedunia dan menghargai peranan para wartawan dan pengamal
media dalam memberikan laporan terbaik kepada masyarakat.
Sambutan ini juga dapat meningkatkan kesedaran umum mengenai
peri penting aspek kebebasan akhbar dalam mana-mana masyarakat yang terbuka dan
demokratik.
Ia juga meningatkan semua pihak akan tugas mereka untuk
menghormati dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di
bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Namun, lain halnya di Malaysia tatkala para wartawan dan pihak
media diganggugugat serta diancam pendakwaan dalam menyampaikan laporan yang
mungkin tidak enak pada halwa telinga pemerintah.
Sebagai masyarakat dan negara yang berpaksi pada demokrasi,
sikap sebegini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab serta menampakkan
betapa lemahnya pemerintah yang ada hari ini, di semua segi.
Wartawan dan pihak media mesti diberi ruang dan kebebasan dalam
melapor selaras dengan Perlembagaan yang menjamin hak itu.
Keterbukaan dan kritikan tidak harus diinjak malah mesti dirai
dan dihormati sekiranya kita benar-benar mahu membangun tamadun yang beretika
dan cemerlang.
ANWAR IBRAHIM