Pakatan
Harapan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN)
meluluskan Belanjawan 2021 tetapi mahu sesi libat urus dan penelitian
belanjawan dilakukan terlebih dahulu.
Ahli
Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tanpa wakil-wakil
parti Pembangkang diberi input seperti dalam pindaan atau penggubalan rang
undang-undang sebelum ini, maka keikhlasan kerajaan dalam proses menghasilkan
belanjawan bersama diragui.
"Urusan
belanjawan ini tentulah urusan anggota-anggota Parlimen untuk kita bawa di
Dewan Rakyat, untuk dibahas dan menyatakan pandangan serta pendirian kita.
"Walaupun
Menteri Kewangan sebelum ini menyatakan ini merupakan belanjawan yang tidak
sewajarnya dipolitikkan, tetapi di masa yang sama, kita mesti lihat sama ada
belanjawan ini menguntungkan rakyat ataupun tidak.
"Di
situ perlunya satu libat urus antara kedua-dua pihak kerajaan dan juga
Pembangkang," katanya dipetikI.
Menurut
Shamsul lagi, tanpa sesi libat urus kerajaan akan dilihat mahu mempolitikkan
keadaan dan memaksa kelulusan belanjawan dengan alasan titah Yang di-Pertuan
Agong.
Katanya,
jika Pembangkang tidak dibenar meneliti belanjawan sebelum dibentang di Dewan
Rakyat maka rakyat akan melihat tidak ada kesungguhan di pihak PN dalam memastikan
belanjawan tersebut memenuhi segala aspek yang diperlukan rakyat.
"Banyak
kali kita lihat di dalam Dewan Rakyat, beberapa sesi libat urus berlaku
terutama melibatkan hal undang-undang yang penting.
"Sewajarnya,
ia diteruskan. Kalau begitu (tanpa libat urus), ia seolah-olah Kerajaan cuba
berpolitik dalam isu belanjawan untuk mengekalkan kelangsungan dan keabsahan
pimpinan Muhyiddin," katanya.