Perlu sesi libat urus sebelum sokong Belanjawan 2021

 


Pakatan Harapan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluluskan Belanjawan 2021 tetapi mahu sesi libat urus dan penelitian belanjawan dilakukan terlebih dahulu.

 

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tanpa wakil-wakil parti Pembangkang diberi input seperti dalam pindaan atau penggubalan rang undang-undang sebelum ini, maka keikhlasan kerajaan dalam proses menghasilkan belanjawan bersama diragui.

 

"Urusan belanjawan ini tentulah urusan anggota-anggota Parlimen untuk kita bawa di Dewan Rakyat, untuk dibahas dan menyatakan pandangan serta pendirian kita.

 

"Walaupun Menteri Kewangan sebelum ini menyatakan ini merupakan belanjawan yang tidak sewajarnya dipolitikkan, tetapi di masa yang sama, kita mesti lihat sama ada belanjawan ini menguntungkan rakyat ataupun tidak.

 

"Di situ perlunya satu libat urus antara kedua-dua pihak kerajaan dan juga Pembangkang," katanya dipetikI.

 

Menurut Shamsul lagi, tanpa sesi libat urus kerajaan akan dilihat mahu mempolitikkan keadaan dan memaksa kelulusan belanjawan dengan alasan titah Yang di-Pertuan Agong.

 

Katanya, jika Pembangkang tidak dibenar meneliti belanjawan sebelum dibentang di Dewan Rakyat maka rakyat akan melihat tidak ada kesungguhan di pihak PN dalam memastikan belanjawan tersebut memenuhi segala aspek yang diperlukan rakyat.

 

"Banyak kali kita lihat di dalam Dewan Rakyat, beberapa sesi libat urus berlaku terutama melibatkan hal undang-undang yang penting.

 

"Sewajarnya, ia diteruskan. Kalau begitu (tanpa libat urus), ia seolah-olah Kerajaan cuba berpolitik dalam isu belanjawan untuk mengekalkan kelangsungan dan keabsahan pimpinan Muhyiddin," katanya.