Pakatan Harapan (PH) sedia menjunjung titah Yang di-Pertuan
Agong untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang oleh kerajaan
Perikatan Nasional (PN) sekiranya diwujudkan rundingan bersama sebelum sesi
Parlimen 6 November ini.
Majlis Presiden PH dalam kenyataan yang dikeluarkan petang tadi,
menyambut baik titah Agong menasihatkan semua Ahli Parlimen memberi sokongan
kepada belanjawan demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang
terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan
petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia dari wabak
Covid-19.
"Ia perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan negara
terus maju sewaktu dan selepas pandemik - termasuk mengenalpasti
strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi dan membantu jutaan rakyat
yang terkesan.
"Berjuta-juta rakyat yang berada pada atau di bawah paras
kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini. Golongan yang
tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman
dilanjutkan.
"Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden amat bersetuju dengan
DYMM Yang di-Pertuan Agong bahawa amat penting dan serius untuk Belanjawan 2021
dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen," ujar
kenyataan tersebut yang dikeluarkan sejurus usai mesyuarat di Ibu Pejabat
KEADILAN di Petaling Jaya, Selangor.
Sehubungan itu, Majlis Presiden PH mengharapkan Perdana Menteri
(PM) Muhyiddin Yassin yang sebelum ini gagal mendapat perkenan Agong
mengisytihar darurat ke seluruh negara untuk berkongsi dokumen belanjawan agar
dimaklumi dan diberi sumbang saran oleh pihak Pembangkang.
Sekiranya hal itu gagal dilakukan, maka pihak PM Muhyiddin boleh
dilihat tidak ikhlas mahu berdamai dan kekal berpoliticking biar pun
ditegah Yang di-Pertuan Agong.
"Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah Agong dengan
mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan
isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen, supaya ia
dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Tuanku.
"Majlis Presiden yakin semua Ahli Parlimen akan terlibat di
dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan belanjawan mengutamakan
kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah
dititah oleh Tuanku," kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, kenyataan bersama Majlis Presiden turut menjunjung
kasih terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja
di atas penolakan berprinsip terhadap permohonan PM untuk mengisytihar darurat.
"Kenyataan Majlis Raja-Raja bertarikh 25 Oktober
menjelaskan pertimbangan yang telah diambil kira oleh Raja-Raja Melayu dalam
isu yang amat serius ini.
"Duli-Duli Tuanku sedar tentang hak dan budi bicara serta
peranan seperti yang termaktub di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan
dalam mengimbangi pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan
membatasi unsur penyalahgunaan kuasa, dan telah membuat keputusan berdasarkan
perkara tersebut," kata mereka lagi.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden KEADILAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP
Lim Guan Eng.