Elak gelombang ketiga, putuskan rantaian Covid 19
Pandemik Covid 19 yang kembali mewabak memerlukan rakyat lebih bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian penyebaran virus maut itu.
Sehubungan itu, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan sebarang usaha dan nasihat yang diberikan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) tentang tanggungjawab masyarakat bagi memastikan Malaysia tidak dilanda gelombang ketiga pandemik.
“Saya amat mengalu-alukan kenyataan oleh Akademi Perubatan Malaysia yang mengingatkan kita semua akan tanggungjawab bersama dalam memutus rantaian penyebaran wabak Covid-19.
“Petugas barisan hadapan telah bekerja tanpa lelah sejak awal tahun ini dalam melindungi kita semua dan membendung penguncupan ekonomi.
“Janganlah kita tambahkan beban mereka dengan sikap alpa dan tidak bertanggungjawab. Kita juga harus memainkan peranan aktif penuh disiplin dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mencuci tangan dan mengamalkan pembatasan fizikal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam kenyataan itu juga Anwar turut mengkritik Kerajaan Perikatan Nasional agar bertindak berlandaskan undang-undang dan tidak ada sesiapa terkecuali sekiranya melanggar peraturan dan SOP mencegah Covid 19
“Tidak ada yang harus dikecualikan dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Saya mendesak pihak berwajib untuk memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan yang ketat tanpa pengecualian atau diskriminasi,” katanya lagi.
Baru-baru ini, AMM mengeluarkan kenyataan agar rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dalam menjaga diri sendiri, keluarga dan masyarakat berikutan kemungkinan gelombang ketiga Covid 19 menyerang negara.
AMM memberi amaran, sekiranya SOP tidak dipatuhi dan jangkitan semakin meluas maka Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan semula dan mungkin menggugat teruk ekonomi negara.