Suasana ekonomi pandemik Covid 19
mewajarkan rakyat meneliti semula pemimpin yang terbaik untuk mengemudi negara.
Hal berkenaan ditegaskan oleh Presiden
KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian Pejabat KEADILAN
Cabang Sepang, tengah hari tadi.
Menurut Anwar, kerajaan Perikatan
Nasional (PN) yang wujud hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat
berbilang kaum dan ekonomi yang merudum kerana ditadbir oleh pemimpin
pengkhianat dan tidak mampu bergerak jauh dalam pemerintahan.
"Lihat ekonomi pademik Covid,
penganguran dijangka akhir tahun ini hampir sejuta orang. Apa yang dibuat oleh
pemimpin Perikatan Nasional?
"Perbanyakkan jawatan menteri,
jawatan GLC. Orang di bawah makan pun tak cukup.
"Negeri ini kecil ada 30 juta
penduduk, menteri 70 orang. Di dunia ini biasanya menteri 30, 40 atau 50 orang.
Kita catat rekod 70. Ada yang sampai sekarang sudah 6 bulan tak pernah dengar
pun (nama) menteri.
"Kedua kalau buat kenyataan
memang celaru, kelam kabut.
"Ada beza mengapa kita katakan
mandat rakyat itu penting. Sebab orang yang khianat ini, dalam sejarah dia
boleh selamat sekejap tetapi tak boleh ke mana.
"Kerana orang akan cop dia
memerintah atau mentadbir melalui pengkhianatan bukan perjuangan," kata
Anwar dalam majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang itu.
Menurut beliau lagi, KEADILAN
merupakan sebuah parti keramat yang memperjuangkan hak rakyat terbanyak. Setiap
wakil rakyat yang dipilih wajib meletakkan agenda rakyat di hadapan dan
melebihi segala-galanya.
Tanpa agenda membela rakyat itu
KEADILAN tidak akan mampu bertahan menyaingi retorik parti-parti perkauman.
Serahan 300 borang keahlian baru KEADILAN
"Parti ini muncul dari hasrat
membela nasib rakyat. Selagi kemiskinan tak selesai, selagi rumah pangsa tidak
dicat sebagaimana rumah yang sesuai dihuni oleh manusia, selagi pengangguran
tidak dapat diatasi, selagi itu kita belum sempurna mentadbir dan menjalankan
pemerintahan yang baik.
"Ujiannya bukan sekadar kita
mendapat gelaran atau kedudukan. Persoalannya apakah kedudukan itu yang
menentukan kita berhasil, ataukah khidmat kita kepada rakyat?
"Soalnya sekarang bagaimana nak
pertahan parti induk KEADILAN tidak lari dan tergelincir dari hasrat perjuangan
murni? Kita ada kekuatan, jumlah ahli yang ramai. Saya ucap tahniah kepada
Borhan (Ketua Cabang) berjaya kumpul keanggotaan. Tetapi untuk apa? Untuk
menjana kekuatan mewakili hasrat rakyat.
"Jawatan ini adalah
tanggungjawab. Kita diangkat sebagai ADUN sebagai Exco, Menteri Besar, Perdana
Menteri jangan kita lupa (agenda rakyat). Jangan kita samakan parti ini dengan
parti-parti lain yang pernah mentadbir negeri atau negara," katanya.
Justeru, Anwar mengingatkan KEADILAN
hanya relevan apabila ketua-ketua di semua peringkat bersama-sama menggiatkan
usaha membantu rakyat termasuk di negeri maju seperti Selangor.
"Saya selalu ingatkan pergi
lihat orang miskin bandar, pergi lihat rumah-rumah di negeri Selangor, masih
ada yang memerlukan pertolongan, masih belum dapat pembelaan yang sesuai.
"Ini beza naratif kita. Parti
ini akan hanya wujud dan berwibawa jika kita prihatin," katanya lagi.
Dalam majlis itu juga Anwar menerima
penyampaikan lebih 300 borang keahlian baharu KEADILAN.
YB Bohan Aman Shah memberi ucapan
Keahlian KEADILAN di cabang Sepang
sekitar 11,000 anggota. Anwar berseloroh setelah mempunyai pejabat baharu
keahlian akan meningkat kepada 15,000 anggota.
Majlis itu turut mengadakan sesi
tertutup taklimat khas presiden kepada pimpinan KEADILAN yang didahului Anwar
menandatangani plak khas perasmian bangunan.
Anwar turut ditunjukkan gambar-gambar
mural perjuangan dua dekad Reformasi oleh Ketua Cabang, Bohan Aman Shah yang
juga merupakan ADUN Tanjung Sepat.
Dalam ucapannya, Borhan menyatakan
Cabang Sepang menyokong penuh kepimpinan presiden parti pasca perpecahan akibat
pengkhianatan puak kartel kira-kira 6 bulan lalu.
Majlis tersebut turut dihadiri
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Hee Loy Sian, Naib
Presiden KEADILAN Datuk Dr Xavier Jayakumar, ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu dan
pimpinan-pimpinan tempatan dari Amanah serta DAP.