PRN Sabah: Calon KEADILAN DUN Klias gemar bertemu rakyat

 




BEAUFORT - Calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Abdul Rahman Yakub mengakui gemar bersemuka dengan rakyat dari rumah ke rumah ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Beliau berkata, hampir semua tempat di Klias sudah dilawati dan ternyata pendekatan itu memberikan kesan apabila sepanjang berkempen, penerimaan pengundi cukup baik dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.

 "Saya banyak menggunakan kaedah rumah ke rumah untuk berjumpa dengan orang ramai. Ada juga saya pergi ke kedai makan dan berjumpa dengan orang dari meja ke meja dan berbual sekejap.



"Saya fikir cara ini lebih peribadi, sebab kalau pendekatan berceramah itu hanya bersifat satu hala iaitu kita bercakap orang mendengar.

 "Bukannya kaedah ceramah itu tidak baik, tapi saya rasa pendekatan saya ada 'personal touch'," katanya kepada Suara KEADILAN.

 Rahman juga berpendapat pendekatan pengundi ke pengundi adalah selari dengan SOP dalam menangani COVID-19.

 "Dalam keadaan wabak COVID-19, susah untuk kita mengumpul orang. Ada syarat-syaratnya serta melibatkan pematuhan penjarakan sosial.

 

"Sebab itu, cara bersemuka dengan setiap pengundi lebih praktikal dan sesuai dalam masa-masa mencabar ini, COVID-19 pun sedang meningkat di Sabah.

 "Jadi apabila saya perkenalkan diri, ia akan menjadi bualan orang, mereka akan sebut nama calon dan akan jadi buah mulut sebelum hari mengundi.

 "Tengok kepada gaya bahasa dan badan pengundi, kebanyakannya menunjukkan sokongan yang baik," katanya.


Rahman merupakan satu-satunya calon yang kembali bertanding di DUN Klias selepas bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008.

 Malah, KEADILAN sendiri kembali bertanding di DUN Klias, selepas kerusi itu dipertandingkan oleh Warisan pada PRU-14 namun tewas kepada penyandang, Isnin Aliasnih.

 Rahman mengakui ia bukanlah satu keputusan yang mudah setelah lama tidak bertanding sebagai calon.

 Namun, pencalonan beliau mendapat sokongan daripada Presiden Warisan sendiri, Datuk Seri Shafie Apdal.



"Terus-teranglah, saya lebih suka membantu kawan-kawan menjadi calon. Tapi kali ini saya diminta secara peribadi oleh kepimpinan Ketua Menteri Sabah supaya bertanding di DUN Klias.

 "Saya tidak pernah bermimpi mahu menjadi calon lagi kerana kita fokus kepada perkara lain tetapi bila diminta oleh Ketua Menteri dengan sebegitu rupa, saya harus menyahut cabaran walaupun persiapan kurang serba-serbi.

 "Sebenarnya, kita baru mulakan persiapan awal dalam menghadapi pilihan raya, tiba-tiba persiapan awal itu belum selesai sudah bubar dewan, jadi kita semua terperangkap dalam keadaan tidak bersedia.

 "Walaubagaimanapun, kita hadapi apa pun masalah dan rintangan insya-Allah, mudah-mudahan kalau tuhan izinkan tidak ada perkara mustahil. Persiapan kurang tetapi kemenangan itu tidak mustahil," katanya.