Pada 17 September
2020
oleh Liew Chin Tong
Oleh Liew Chin Tong
(Pengerusi DAP Johor, Ahli Dewan Negara)
Saya sedang di Sandakan, berkempen
untuk gabungan Warisan Plus. Di sepanjang jalan-jalan utama Sandakan,
poster-poster dihiasi wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terpampang
merata-rata, seolah-olah beliau lah yang bertanding dalam pilihan raya negeri
Sabah pada 26 September nanti.
Jangan tersilap. Masa depan politik
Muhyiddin bergantung kepada hasil pilihan raya ini. Pertaruhan bagi Muhyiddin
amatlah tinggi, bahkan lebih tinggi berbanding Dato’ Seri Shafie Apdal.
Ini sememangnya perlawanan antara
Shafie Apdal dengan Muhyiddin Yassin!
Ternyata Muhyiddin si calon pilihan
raya dan pesuruhnya, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri
Dato’ Seri Hamzah Zainuddin adalah pencetus pembubaran Dewan Undangan Negeri
Sabah. Mereka perlu dihukum atas cubaan menjatuhkan kerajaan yang terbina atas
mandat rakyat negeri Sabah.
Untuk gambaran yang lebih jelas,
mari kita menghimbau semula kejadian-kejadian pada penghujung Februari bagi
memahami kenapa si Muhyiddin ini perlu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan
Shafie.
Rampasan kuasa separuh masak
Perancang Langkah Sheraton telah
membuat satu andaian dangkal bahawa Shafie Apdal dan mantan perdana menteri Tun
Dr Mahathir Mohamad memihak mereka untuk mencukupkan bilangan, dan mereka
memiliki sejumlah 130 kerusi.
DAP, PKR dan Amanah mempunyai 92
kerusi sehingga Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat Jugah Muyang memihak kepada
Muhyiddin.
Mahathir dan Shafie kedua-duanya
tidak hadir ke hotel Sheraton pada petang Ahad 23 Februari.
Mahathir enggan menyokong rampasan
kuasa terbabit dan seterusnya meletakkan jawatan pada hari Isnin 24 Februari.
Di tengah kekeliruan sekitar persoalan Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan
memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana
Menteri pada petang Selasa 25 Februari, dan mengulangi sokongan tersebut di
Istana Negara pada Rabu 26 Februari.
Selepas kenyatan daripada pihak
Istana Negra pada jam 4 petang Jumaat 28 Februari, kami berjaya memulihkan
komunikasi antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, serta
berbincang untuk kembali berpakat dalam satu mesyuarat di kediaman peribadi Dr
Mahathir pada jam 8 malam.
Pihak Anwar bersetuju untuk kembali
berama Mahathir dan mesej itu disampaikan kepada Mahathir pada jam 8 pagi,
Sabtu 29 Januari.
Saya turut hadir sama dalam
pertemuan itu.
Dengan segera, Syed Saddiq Syed
Abdul Rahman menelefon Darell Leiking yang berada bersama Shafie Apdal. Melalui
panggilan telefon, Shafie menyatakan sokongan parti Warisan terhadap kerajaan
gabungan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir.
Pada pagi bersejarah 29 Februari
itu, Shafie lah yang telah membuat suatu ketetapan tegas. Walaupun Muhyiddin
mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac, angan-angannya untuk
memerintah dengan sejumlah 130 kerusi telah dinafikan oleh kedua-dua Mahathir
dan Shafie. Kerajaan Muhyiddin berdiri tempang dengan majoriti satu digit sejak
awal lagi, dan kini berada pada angka 113 berbanding 109.
Pakatan Plus berjaya mengekalkan 109
kerusi, bukan 91 atau 92 disebabkan peranan yang dimainkan oleh Shafie dan
Warisan.
Sabah Memimpin Malaysia
Setelah bertahun-tahun diperhambakan
Kerajaan Persekutuan yang didominasi Umno, rakyat Sabah tidak percaya bahawa
mampu menentukan masa depan Malaysia.
Tetapi Shafie dan Ahli-ahli Parlimen
Sabah adalah umpama sembilu bagi Muhyiddin, dan menjadi penentu permainan bagi
beliau sejak 29 Februari lagi.
Muhyiddin kemudiannya menghantar
Hamzah Zainuddin ke Sabah untuk ‘berbeli belah’. Akhirnya pada 29 Julai, sehari
selepas mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan hukuman
penjara 72 tahun; mantan ketua menteri Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau
mempunyai sokongan majoriti.
Dan jangan pula kita terlupa – pada
9 Jun, Jabatan Peguam Negara menggugurkan sejumlah 46 pertuduhan rasuah
terhadap Musa.
Pendek kata, pilihan raya negeri
Sabah dicetuskan oleh Muhyiddin si ‘calon PRN’ yang cuba menumbangkan kerajaan
Shafie kerana peranan yang dimainkan beliau bagi mengekalkan bilangan 109
kerusi di pihak pembangkang di peringkat nasional.
Menggagalkan ‘the scheme of things’
Pada 30 Julai, Tuan Yang Terutama
Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin bersetuju
dengan permintaan Shafie untuk membubarkan DUN negeri Sabah, demi mengembalikan
mandat kepada rakyat.
Pada 26 September nanti, sekiranya
gabungan Warisan Plus berjaya meraih majoriti meyakinkan sebanyak lebih 45
kerusi, kita boleh membilang hari-hari terakhir Muhyiddin menjadi Perdana
Menteri.
Yang paling awal akan merasakan
kesannya tentulah Gabungan Parti Sarawak.
GPS bukanlah sekutu PAS, manakal
retoriknya sepanjang beberapa tahun lalu, terutamanya pada zaman Adenan Satem,
kebanyakannya bersifat anti-Umno.
Umno dengan wajah Najib dan Datuk
Seri Zahid Hamidi tentunya bukan faktor tarikan pilihanraya yang baik.
Kemenangan meyakinkan oleh Shafie dan Warisan Plus akan memberi tekanan hebat
kepada GPS.
Perkelahian antara Perikatan
Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah sepanjang pilhan raya negeri
turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Muhyiddin boleh bertahan.
Ini mungkin kali pertama dalam
sejarah Malaysia di mana kata-kata seorang Perdana Menteri hampir tidak membawa
kesan ke atas rakan-rakan gabungannya, seperti yang boleh dilihat ketika
Barisan Nasional menolak Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor sebagai
calon Ketua Menteri, walaupun dicalonkan oleh Muhyiddin sendiri.
Pengundi Sabah bukan sekadar
menentukan nasib pentadbiran Shafie sebagai Ketua Menteri, dan memilih parti
mana yang akan mentadbir negeri Sabah untuk penggal akan datang. Pilihan raya
Sabah ini akan menentukan sama ada Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri
atau tidak dalam penggal akan datang.
Pertaruhannya nampak begitu sengit
untuk kedua-dua calon Shafie dan Muhyiddin.