Muhyiddin, si calon pilihan raya Sabah

 

Pada 17 September 2020

oleh Liew Chin Tong


Oleh Liew Chin Tong

(Pengerusi DAP Johor, Ahli Dewan Negara)

Saya sedang di Sandakan, berkempen untuk gabungan Warisan Plus. Di sepanjang jalan-jalan utama Sandakan, poster-poster dihiasi wajah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terpampang merata-rata, seolah-olah beliau lah yang bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah pada 26 September nanti.

Jangan tersilap. Masa depan politik Muhyiddin bergantung kepada hasil pilihan raya ini. Pertaruhan bagi Muhyiddin amatlah tinggi, bahkan lebih tinggi berbanding Dato’ Seri Shafie Apdal.

Ini sememangnya perlawanan antara Shafie Apdal dengan Muhyiddin Yassin!

Ternyata Muhyiddin si calon pilihan raya dan pesuruhnya, Setiausaha Agung Bersatu merangkap Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainuddin adalah pencetus pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah. Mereka perlu dihukum atas cubaan menjatuhkan kerajaan yang terbina atas mandat rakyat negeri Sabah.

Untuk gambaran yang lebih jelas, mari kita menghimbau semula kejadian-kejadian pada penghujung Februari bagi memahami kenapa si Muhyiddin ini perlu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Shafie.

Rampasan kuasa separuh masak

Perancang Langkah Sheraton telah membuat satu andaian dangkal bahawa Shafie Apdal dan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memihak mereka untuk mencukupkan bilangan, dan mereka memiliki sejumlah 130 kerusi.

DAP, PKR dan Amanah mempunyai 92 kerusi sehingga Ahli Parlimen Lubok Antu, Tambat Jugah Muyang memihak kepada Muhyiddin.

Mahathir dan Shafie kedua-duanya tidak hadir ke hotel Sheraton pada petang Ahad 23 Februari.

Mahathir enggan menyokong rampasan kuasa terbabit dan seterusnya meletakkan jawatan pada hari Isnin 24 Februari. Di tengah kekeliruan sekitar persoalan Kerajaan Perpaduan, Pakatan Harapan memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pada petang Selasa 25 Februari, dan mengulangi sokongan tersebut di Istana Negara pada Rabu 26 Februari.

Selepas kenyatan daripada pihak Istana Negra pada jam 4 petang Jumaat 28 Februari, kami berjaya memulihkan komunikasi antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, serta berbincang untuk kembali berpakat dalam satu mesyuarat di kediaman peribadi Dr Mahathir pada jam 8 malam.

Pihak Anwar bersetuju untuk kembali berama Mahathir dan mesej itu disampaikan kepada Mahathir pada jam 8 pagi, Sabtu 29 Januari.

Saya turut hadir sama dalam pertemuan itu.

Dengan segera, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menelefon Darell Leiking yang berada bersama Shafie Apdal. Melalui panggilan telefon, Shafie menyatakan sokongan parti Warisan terhadap kerajaan gabungan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir.

Pada pagi bersejarah 29 Februari itu, Shafie lah yang telah membuat suatu ketetapan tegas. Walaupun Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac, angan-angannya untuk memerintah dengan sejumlah 130 kerusi telah dinafikan oleh kedua-dua Mahathir dan Shafie. Kerajaan Muhyiddin berdiri tempang dengan majoriti satu digit sejak awal lagi, dan kini berada pada angka 113 berbanding 109.

Pakatan Plus berjaya mengekalkan 109 kerusi, bukan 91 atau 92 disebabkan peranan yang dimainkan oleh Shafie dan Warisan.

Sabah Memimpin Malaysia

Setelah bertahun-tahun diperhambakan Kerajaan Persekutuan yang didominasi Umno, rakyat Sabah tidak percaya bahawa mampu menentukan masa depan Malaysia.

Tetapi Shafie dan Ahli-ahli Parlimen Sabah adalah umpama sembilu bagi Muhyiddin, dan menjadi penentu permainan bagi beliau sejak 29 Februari lagi.

Muhyiddin kemudiannya menghantar Hamzah Zainuddin ke Sabah untuk ‘berbeli belah’. Akhirnya pada 29 Julai, sehari selepas mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun; mantan ketua menteri Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti.

Dan jangan pula kita terlupa – pada 9 Jun, Jabatan Peguam Negara menggugurkan sejumlah 46 pertuduhan rasuah terhadap Musa.

Pendek kata, pilihan raya negeri Sabah dicetuskan oleh Muhyiddin si ‘calon PRN’ yang cuba menumbangkan kerajaan Shafie kerana peranan yang dimainkan beliau bagi mengekalkan bilangan 109 kerusi di pihak pembangkang di peringkat nasional.

Menggagalkan ‘the scheme of things’

Pada 30 Julai, Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin bersetuju dengan permintaan Shafie untuk membubarkan DUN negeri Sabah, demi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Pada 26 September nanti, sekiranya gabungan Warisan Plus berjaya meraih majoriti meyakinkan sebanyak lebih 45 kerusi, kita boleh membilang hari-hari terakhir Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Yang paling awal akan merasakan kesannya tentulah Gabungan Parti Sarawak.

GPS bukanlah sekutu PAS, manakal retoriknya sepanjang beberapa tahun lalu, terutamanya pada zaman Adenan Satem, kebanyakannya bersifat anti-Umno.

Umno dengan wajah Najib dan Datuk Seri Zahid Hamidi tentunya bukan faktor tarikan pilihanraya yang baik. Kemenangan meyakinkan oleh Shafie dan Warisan Plus akan memberi tekanan hebat kepada GPS.

Perkelahian antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah sepanjang pilhan raya negeri turut membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Muhyiddin boleh bertahan.

Ini mungkin kali pertama dalam sejarah Malaysia di mana kata-kata seorang Perdana Menteri hampir tidak membawa kesan ke atas rakan-rakan gabungannya, seperti yang boleh dilihat ketika Barisan Nasional menolak Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Mohd Noor sebagai calon Ketua Menteri, walaupun dicalonkan oleh Muhyiddin sendiri.

Pengundi Sabah bukan sekadar menentukan nasib pentadbiran Shafie sebagai Ketua Menteri, dan memilih parti mana yang akan mentadbir negeri Sabah untuk penggal akan datang. Pilihan raya Sabah ini akan menentukan sama ada Muhyiddin akan kekal sebagai Perdana Menteri atau tidak dalam penggal akan datang.

Pertaruhannya nampak begitu sengit untuk kedua-dua calon Shafie dan Muhyiddin.