Ekonomi merosot, pemimpin khianat hanya selamat sekejap - Anwar

 


Suasana ekonomi pandemik Covid 19 mewajarkan rakyat meneliti semula pemimpin yang terbaik untuk mengemudi negara.

 Hal berkenaan ditegaskan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian Pejabat KEADILAN Cabang Sepang, tengah hari tadi.

 Menurut Anwar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang wujud hari ini tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat berbilang kaum dan ekonomi yang merudum kerana ditadbir oleh pemimpin pengkhianat dan tidak mampu bergerak jauh dalam pemerintahan.

 



"Lihat ekonomi pademik Covid, penganguran dijangka akhir tahun ini hampir sejuta orang. Apa yang dibuat oleh pemimpin Perikatan Nasional?

 "Perbanyakkan jawatan menteri, jawatan GLC. Orang di bawah makan pun tak cukup.

 "Negeri ini kecil ada 30 juta penduduk, menteri 70 orang. Di dunia ini biasanya menteri 30, 40 atau 50 orang. Kita catat rekod 70. Ada yang sampai sekarang sudah 6 bulan tak pernah dengar pun (nama) menteri.

 "Kedua kalau buat kenyataan memang celaru, kelam kabut.

 "Ada beza mengapa kita katakan mandat rakyat itu penting. Sebab orang yang khianat ini, dalam sejarah dia boleh selamat sekejap tetapi tak boleh ke mana.

 "Kerana orang akan cop dia memerintah atau mentadbir melalui pengkhianatan bukan perjuangan," kata Anwar dalam majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang itu.

 Menurut beliau lagi, KEADILAN merupakan sebuah parti keramat yang memperjuangkan hak rakyat terbanyak. Setiap wakil rakyat yang dipilih wajib meletakkan agenda rakyat di hadapan dan melebihi segala-galanya.

 Tanpa agenda membela rakyat itu KEADILAN tidak akan mampu bertahan menyaingi retorik parti-parti perkauman.

 



Serahan 300 borang keahlian baru KEADILAN

 "Parti ini muncul dari hasrat membela nasib rakyat. Selagi kemiskinan tak selesai, selagi rumah pangsa tidak dicat sebagaimana rumah yang sesuai dihuni oleh manusia, selagi pengangguran tidak dapat diatasi, selagi itu kita belum sempurna mentadbir dan menjalankan pemerintahan yang baik.

 

"Ujiannya bukan sekadar kita mendapat gelaran atau kedudukan. Persoalannya apakah kedudukan itu yang menentukan kita berhasil, ataukah khidmat kita kepada rakyat?

 

"Soalnya sekarang bagaimana nak pertahan parti induk KEADILAN tidak lari dan tergelincir dari hasrat perjuangan murni? Kita ada kekuatan, jumlah ahli yang ramai. Saya ucap tahniah kepada Borhan (Ketua Cabang) berjaya kumpul keanggotaan. Tetapi untuk apa? Untuk menjana kekuatan mewakili hasrat rakyat.

 "Jawatan ini adalah tanggungjawab. Kita diangkat sebagai ADUN sebagai Exco, Menteri Besar, Perdana Menteri jangan kita lupa (agenda rakyat). Jangan kita samakan parti ini dengan parti-parti lain yang pernah mentadbir negeri atau negara," katanya.

 Justeru, Anwar mengingatkan KEADILAN hanya relevan apabila ketua-ketua di semua peringkat bersama-sama menggiatkan usaha membantu rakyat termasuk di negeri maju seperti Selangor.

 "Saya selalu ingatkan pergi lihat orang miskin bandar, pergi lihat rumah-rumah di negeri Selangor, masih ada yang memerlukan pertolongan, masih belum dapat pembelaan yang sesuai.

 "Ini beza naratif kita. Parti ini akan hanya wujud dan berwibawa jika kita prihatin," katanya lagi.

 Dalam majlis itu juga Anwar menerima penyampaikan lebih 300 borang keahlian baharu KEADILAN.



YB Bohan Aman Shah memberi ucapan

 Keahlian KEADILAN di cabang Sepang sekitar 11,000 anggota. Anwar berseloroh setelah mempunyai pejabat baharu keahlian akan meningkat kepada 15,000 anggota.

 Majlis itu turut mengadakan sesi tertutup taklimat khas presiden kepada pimpinan KEADILAN yang didahului Anwar menandatangani plak khas perasmian bangunan.

 Anwar turut ditunjukkan gambar-gambar mural perjuangan dua dekad Reformasi oleh Ketua Cabang, Bohan Aman Shah yang juga merupakan ADUN Tanjung Sepat.

 Dalam ucapannya, Borhan menyatakan Cabang Sepang menyokong penuh kepimpinan presiden parti pasca perpecahan akibat pengkhianatan puak kartel kira-kira 6 bulan lalu.

 Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Hee Loy Sian, Naib Presiden KEADILAN Datuk Dr Xavier Jayakumar, ADUN Sungai Pelek Ronnie Liu dan pimpinan-pimpinan tempatan dari Amanah serta DAP.