Oleh: Muhammad Hafez Darwis
Perlu dibezakan antara Pakatan Harapan dan Plus. Ini perlu jelas. Tapi ada pimpinan di dalam parti komponen Pakatan Harapan yang kabur. Kekaburan mereka ini tidak membantu di dalam proses pengukuhan Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan bukan Plus. Pakatan Harapan secara rasminya dianggotai oleh PKR, Amanah dan DAP. Ini merupakan 3 parti teras Pakatan Harapan. Ini perlu jelas.
Manakala Parti Bersatu kem Mahathir bersama Parti Warisan Sabah membentuk apa yang dinamakan Plus. Dan Plus secara rasminya bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan tetapi menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan.
Plus terdiri daripada Parti Warisan yang merupakan sebuah parti negeri Sabah. Warisan bukan parti nasional. Kesemua kerusi yang ditandingi oleh Warisan hanyalah di Sabah semata-mata. Tidak ada satu bahagian, hatta cawangan pun daripada Parti Warisan yang wujud baik di Semenanjung mahu pun di Sarawak. Semua bahagian dan cawangan Parti Warisan hanya wujud di Sabah sahaja. Ini bersesuaian dengan sifatnya sebagai parti negeri bukan parti nasional.
Manakala Parti Bersatu kumpulan Mahathir pula masih belum menyelesaikan pertikaian mahkamah mereka dengan Parti Bersatu kumpulan Muhyiddin Yassin. Di sidang parlimen kumpulan Mahathir adalah anggota parlimen yang diletakkan di kerusi pembangkang bersama Pakatan Harapan. Kekuatan kumpulan Mahathir ini hanya berjumlah 5 orang anggota parlimen termasuk Mahathir.
Ini perlu jelas apabila menanggapi persoalan yang timbul daripada krisis penamaan calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan dan Plus atau pun dalam merangka strategi untuk menghadapi pilihanraya mengejut sekiranya parlimen dibubarkan.
Hubungan kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Plus lebih menjurus kepada usaha-usaha pragmatik untuk merebut kembali kekuasaan di Putrajaya.
Setelah berlakunya "Langkah Sheraton" dan Muhyiddin Yassin membawa Parti Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan, Mahathir tidak pernah memohon secara rasmi untuk Parti Bersatu kumpulan beliau menganggotai semula Pakatan Harapan. Mahathir memilih untuk berada di luar kerangka rasmi Pakatan Harapan. Ini juga perlu jelas.
Ini berbeza dengan hubungan antara parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan. PKR, Amanah dan DAP membentuk suatu persepakatan rasmi di dalam satu wadah bersama. Setakat tulisan ini ditulis, dasar atau polisi yang dimaterai ketika PRU-14 masih lagi termaktub sebagai dasar kolektif bersama yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga komponen parti di dalam Pakatan Harapan.
Justeru itu, adalah menjadi suatu yang pelik lagi tidak masuk akal apabila pimpinan utama daripada Amanah yang dipimpin oleh Mat Sabu dan Guan Eng yang memimpin DAP kehilangan fokus apabila berhadapan dengan persoalan memilih calon PM untuk mewakili Pakatan Harapan dan Plus.
Seharusnya Amanah dan DAP memfokuskan kepada usaha untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan melalui peneguhan kesepakatan bersama yang telah dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan di dalam isu calon Perdana Menteri yang akan mewakili Pakatan Harapan.
Malangnya pimpinan Amanah dan DAP kehilangan fokus kepada Pakatan Harapan sebaliknya menumpukan kepada Plus, yang bukan pun sebahagian daripada komponen parti yang ada di dalam Pakatan Harapan. Yang di dalam tidak difokuskan, yang di luar pula menjadi tumpuan. Pelik dan tidak masuk akal.
Justeru, apakah yang menjadi motivasi kepada hilangnya fokus pimpinan daripada Amanah dan DAP ini sehingga mereka terlepas pandang kepada keperluan untuk mengukuhkan Pakatan Harapan?
Motivasi pertama tentunya kuasa. Keinginan untuk berkuasa kembali. Ini tentunya tidak salah. Dan sememangnya menjadi matlamat mana-mana parti politik pun untuk mendapatkan kuasa pemerintahan.
Akan tetapi motivasi kuasa yang ingin dicapai oleh Amanah dan DAP ini bersandarkan kepada landasan atau premis yang salah.
Pertamanya, premis bahawa kuasa pemerintahan hanya boleh dicapai melalui Mahathir. Tanpa Mahathir cita-cita untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan tidak akan tercapai. Dari mana premis ini muncul tidaklah diketahui. Siapa yang menjual idea ini tidaklah pula dapat ditentukan. Betul atau tidak premis ini hanyalah sebuah spekulasi bukan sesuatu yang pasti.
Tetapi itulah yang dipercayai oleh pimpinan Amanah dan DAP sehinggakan mereka kehilangan fokus bahawa di dalam pertarungan politik baik jangka pendek mahu pun jangka panjang, sama ada untuk menjadi kerajaan pusat atau pembangkang kuat, yang sepatutnya diperkukuhkan adalah Pakatan Harapan.
Keduanya, premis bahawa sokongan daripada masyarakat Melayu hanya akan diperolehi melalui Mahathir sebagai Perdana Menteri atau sosok yang dicalonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri. Premis ini betul sebelum PRU-14.
Akan tetapi selepas PRU-14 daripada data-data impirikal dan juga pandangan penganalisis politik tempatan, sokongan masyarakat Melayu terhadap Mahathir ternyata sudah jatuh merudum. Mahathir bukan lagi tarikan utama pengundi-pengundi Melayu. Ini fakta terkini.
Malahan usulan Mahathir untuk menobatkan Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri Malaysia telah mendapat tentangan hatta dari pemimpin politik bumiputera di Sarawak mahu pun di Sabah sendiri.
Justeru, fakta mengenai merudumnya sokongan terkini masyarakat Melayu dan penolakan pimpinan bumiputera Sabah serta Sarawak terhadap usulan Mahathir itu sepatutnya menjadi panduan buat Amanah dan DAP di dalam mengalih semula fokus mereka kepada proses pengukuhan Pakatan Harapan.
Ketiganya, premis bahawa Anwar gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada anggota parlimen untuk membawa Pakatan Harapan kembali berkuasa di Putrajaya. Premis ini mungkin sahaja betul. Anwar mungkin gagal mendapatkan nombor yang mencukupi untuk membawa semula Pakatan Harapan ke Putrajaya.
Tetapi apakah hanya kerana percaya pada premis ini maka fokus kepada pengukuhan Pakatan Harapan perlu dikesampingkan?
Apakah hanya kerana Anwar gagal untuk membawa jumlah yang mencukupi maka Amanah dan DAP perlu mendukung Plus dan melupakan PKR buat sementara waktu?
Kalau premis inilah yang menjadi alasan buat Amanah dan DAP di dalam memposisikan diri mereka untuk mendukung Mahathir dan usulan Mahathir mengenai calon Perdana Menteri Malaysia, maka Mat Sabu dan Guan Eng sudah silap fokus.
Baik kumpulan Mahathir mahu pun Parti Warisan secara rasminya bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan. Mereka berkerjasama dengan Pakatan Harapan tetapi tidak menjadi anggota teras Pakatan Harapan. Kumpulan Mahathir mempunyai 5 kerusi parlimen manakala Warisan pula punya 9 kerusi.
Dengan kekuatan hanya 14 kerusi parlimen sahaja, Plus sebenarnya bukanlah berada di posisi dominan untuk menentukan siapa yang layak menjadi calon PM Malaysia.
Malahan khabar berita yang mengatakan bahawa Mahathir mampu membawa jumlah yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional hanyalah bersifat spekulatif atau andaian semata-mata tanpa adanya sebarang kepastian.
Mahathir sendiri cuma ada 5 kerusi parlimen bersamanya. Dengan hanya 5 kerusi tanpa sokongan penuh dari organisasi parti mereka dan tanpa adanya jentera kerajaan yang boleh digunakan, ditambah pula dengan tumbangnya anak beliau sendiri, Mukhriz di Kedah, serta keengganan PKR untuk menerima usulan beliau, sukar untuk mempercayai bahawa Mahathir mampu menarik sekurang-kurangnya 112 anggota parlimen menyebelahi beliau.
Namun begitu setakat ini kelihatannya seperti Mat Sabu dan Guan Eng tetap percaya yang Mahathir mampu melakukannya. Keghairahan pimpinan Amanah dan DAP untuk mendapatkan kembali kuasa melalui jalan singkat telah mengaburi fikiran rasional mereka.
Mereka kelihatannya benar-benar percaya kepada spekulasi bahawa Mahathir mampu membawa jumlah yang mencukupi ke parlimen untuk menjatuhkan Muhyiddin. Mereka terlupa bahawa jika Muhyiddin jatuh tak semestinya Pakatan Harapan akan kembali berkuasa. Muhyiddin boleh sahaja menasihati Yang Dipertuan Agong supaya membubarkan parlimen untuk diadakan pilihanraya mengejut.
Dikala itu apakah mereka akan masih bersama Mahathir walau pun populariti Mahathir di kalangan masyarakat Melayu sudah jatuh merudum? Jika sokongan terhadap Mahathir masih menjadi pendirian Mat Sabu dan Guan Eng, maka mereka telah tersilap fokus. Plus yang di luar digendongnya, PKR yang di dalam Pakatan Harapan dicicirkannya.
Sedangkan kekuatan Pakatan Harapan bergantung besar kepada sejauh mana kukuhnya kesepakatan bersama ketiga-tiga parti komponen yang membentuknya itu.
Sama ada Pakatan Harapan bersama Plus atau pun tidak, proses pengukuhan Pakatan Harapan perlu menjadi fokus utama buat pimpinan Amanah, DAP dan juga PKR. Ini adalah kerana jalan kembali ke Putrajaya sama ada melalui jalan singkat atau jalan panjang memerlukan Pakatan Harapan yang kukuh. Bukan yang runtuh.
Justeru itu, Amanah dan DAP serta PKR perlu kembali ke meja rundingan untuk sama-sama berbincang bagi memperkukuhkan semula Pakatan Harapan.
Perkukuh dahulu yang di dalam, baru bergerak memeluk yang di luar. Jangan sampai kaca di luar digilap berkilat, permata di rumah dibiar berhabuk.