‘Tulisan pensyarah sains politik pada tahap macai?’

‘Tulisan pensyarah sains politik pada tahap macai?’



Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Muein Abadi hari ini dilihat sangat mengagumi kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yasin selepas sebulan mengambil alih kerajaan.
Berikutan itu, Abdul Muein menyenaraikan 100 fakta yang telah dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional dalam tempoh 30 hari mentadbir negara ini.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Sains Politik UKM Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor telah memberi respons terhadap tulisan beliau yang menganggap tidak sepatutnya ditulis oleh seorang pensyarah sains politik.
Tulisan Abdul Muein bertajuk ’30 hari Kerajaan Perikatan: 100 Fakta’ telah disiarkan di laman facebooknya.
“Ini bukan tulisan seperti pensyarah sains politik, yang menjadi jurucakap rasmi parti yang kerja cari makan dengan penguasa politik untuk cepat naik pangkat, ini lebih rendah dari itu, tahap balaci dan macai,” kata Dr Nadzri.
Malah beliau berkata, tugasan pelajar tahun pertama sains politik tidak seteruk tulisan pensyarah berkenaan.
“Maaflah, tugasan pelajar tahun pertama sains politik pun tiada yang seteruk tahap ini.
“Sepanjang 15 tahun saya dalam dunia sains politik, saya tidak pernah lihat karya-karya serendah ini standardnya,” kata beliau.
Justeru Dr Nadzri melahirkan rasa kecewa kerana pensyarah berkenaan langsung tidak menjaga standard dan profesionalisme seorang pensyarah dan reputasi program Sains Politik UKM.
Selain menyenaraikan pakej rangsangan ekonomi prihatin kerajaan kepada rakyat beliau juga menyenaraikan beberapa fakta lain antaranya;
Fakta 1; Kerajaan Perikatan telah berjaya menstabilkan negara daripada tiga krisis serentak dalam masa sebulan iaitu krisis politik kepartian, krisis ekonomi rakyat, dan krisis pandemik COVID-19.
Fakta 2; Sebaik sahaja mengambilalih kuasa, Tan Sri Muhyiddin dengan tegas dan jelas menyatakan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat.
Fakta 3; Tan Sri Muhyiddin membentuk kabinet dengan gabungan tokoh teknokrat berwibawa seperti YM Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan dan Datuk Seri Mustapha Mohamed sebagai Menteri Ekonomi.
Fakta 4; Tan Sri Muhyiddin turut melantik ulama terbilang seperti Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli al-Bakri sebagai Menteri Agama, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah, dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air.
Dan fakta ke-99; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali (Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus) telah berikrar untuk meneroka pasaran baru untuk industri sawit negara seperti ke Timur Tengah serta Afrika dan “bukan hanya bergantung kepada pasaran sedia ada sekarang iaitu minyak sawit melibatkan empat negara utama iaitu India, China, Eropah dan Amerika Syarikat”.
Abdul Muein pernah memohon maaf secara terbuka kepada Lim Guan Eng di atas pernyataan-pernyataan fitnah yang dilemparkan kepada Ahli Parlimen Bagan itu.
Pernyataan fitnahnya dibuat melalui artikel atau rencana yang telah dikarangkan oleh beliau dan diterbitkan melalui laman Facebooknya dan media social di bawah tajuk “Hubungan sulit DAP, Pengganas LTTE dan Zionist Israel”.

No comments: