Kos Istana Negara RM 1 bilion: Samy Vellu ada agenda tersembunyi?


Azamin Amin
Wed | Nov 21, 07 | 6:11:53 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Hrkh) - Sudah hampir tiga bulan, kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur, menelan belanja RM 1 bilion yang menimbulkan pelbagai tanda tanya belum mendapat sebarang kenyataan dan penjelasan bertulis daripada Menteri Kerja Raya Dato' Seri S. Samy Vellu semalam.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata sikap senyap dan membisu Samy terhadap isu ini dilihat seolah-olah menyembunyikan sesuatu kepada pengetahuan rakyat dan mempunyai kepentingan serta agenda sendiri terhadap projek istana negara ini.

Malah seolah-olah mengiyakan lagi tanggapan bahawa wujud usaha pihak tertentu yang 'memperalatkan institusi raja' untuk mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan membazirkan wang rakyat.

"Sekiranya dia gagal jawab isu ini, saya anggap beliau cuba menyembunyikan sesuatu daripada saya dan rakyat serta ini membuktikan bahawa Dato' Seri mempunyai kepentingan peribadi dan agenda tersendiri dalam projek ini," katanya sewaktu sidang media di Pejabata Agung PAS semalam.

Beliau menjelaskan bahawa PAS telah menghantar surat memohon penjelasan dan memo berhubung isu tersebut kepada Samy di Kementeriannya dan diserahkan melalui Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato' Syed Jamal Syed Jaaffar dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausahanya, Dato' Asiah Marzuki.

"Saya dukacita dengan sikap Samy yang tidak prihatin dan telus dalam isu ini. Saya mahu dia jawab semua lima perkara penyelewengan yang perlu dijelaskan segera," katanya yang menghantar sekali lagi surat penjelasan sebaik sahaja sidang media tersebut selesai.

Antara kepincangan dan kesangsian yang timbul berhubung isu ini selain harga tawaran yang begitu tinggi ialah projek tersebut dilakukan secara rundingan terus dan bukannya secara terbuka malah diberikan kepada kontraktor tidak berdaftar dan bukan kategori kelas A.

Sebelum ini, Mahfuz pernah menyfatkan bahawa pembinaan Istana Negara baru bukan atas kemahuan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin tetapi disebabkan oleh pihak berkepentingan yang mempunyai agenda tertentu untuk mengaut untung yang lebih dengan menggunakan nama institusi raja-raja.

Katanya ada pihak tertentu yang seolah-olah memperalatkan institusi raja untuk mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan membazirkan wang rakyat, dan sebagai satu helah supaya masyarakat tidak mempersoalkan ketelusannya kerana khuatir dilabel atau didakwa sebagai menghina atau menderhaka kepada raja-raja.

"Tidak timbul soal saya derhaka kepada raja tetapi saya derhaka kepada pihak pengurusan kewangan negara dan mempersoalkan pembaziran wang rakyat RM1 bilion," katanya.

"Saya rasa hati kecil baginda Sultan Mizan pun merasakan ini bukanlah satu keperluan penting malah melibatkan jumlah wang rakyat yang begitu besar tetapi saya percaya ada agenda orang-orang tertentu untuk mendapat habuan melalui projek pembinaan Istana," katanya pada Ogos lalu.

Selain itu daripada maklumat yang diperolehi, hasil projek pembinaan istana negara itu kemungkinan akan digunakan sebagai dana untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak menghalang pembinaan Istana Negara untuk memberi keselesaan kepada Yang di-Pertuan Agong tetapi yang dipertikaikan ialah kos begitu luar biasa dan melibatkan dana awam berjumlah RM1 bilion, walaupun ada yang mempersoalkan kewajaran dan keperluan membina istana yang baru," kata Mahfuz.

"Kita tidak menghalang pembinaan dan wajar beri tempat selesa kepada raja kita, cuma yang dipertikaikan ialah kosnya dan kita mahu penjelasan," katanya

Tambah Mahfuz lagi projek yang melibatkan jumlah besar itu diserahkan pula secara rundingan terus kepada satu syarikat kontraktor sahaja Maya Maju Sdn Bhd, yang difahamkan bukan pun daripada kategori kelas A atau B, malah tidak berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).

Sebelum ini, berita utama muka belakang Harakah keluaran 1-15 Julai 2007 mendedahkan bahawa kos kerja-kerja tanah Istana Negara baru ini mencecah hampir RM130 juta, manakala kerja-kerja 'interior design' bernilai sekitar RM250 juta. Site Office Building pula dicadangkan RM9 juta, manakala kerja 'landscaping' dan 'garden' melebihi RM35 juta.

Berdasarkan Kabinet sudahpun meluluskan kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur itu yang pada awalnya bernilai RM400 juta tetapi telah meningkat melebihi RM1.1 bilion. - mks.


No comments: