Akhirnya suruhanjaya diraja ditubuhkan

Frame1

Semuanya bermula pada 19 September 2007 apabila Anwar Ibrahim mendedahkan klip video Lingam yang menunjukkan perbualan telefon VK Lingam dalam “mencaturkan” kedudukan hakim-hakim.

Klip video tersebut telah menggembalikan perbincangan tentang runtuhnya sistem kehakiman di Malaysia yang dikatakan bermula semenjak pemecatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 1988 - 10 tahun sebelum Anwar Ibrahim dipecat.

Beberapa hari selepas hebohnya isu klip video Lingam, kerajaan pun menubuhkan panel bebas yang diketuai oleh Tan Sri Haidar Mohd. Noor bersama-sama dengan Tan Sri Lee Lam Thye dan Datuk Mahadev Shankar.

Penubuhan panel bebas itu telah menimbulkan kemarahan para peguam. Mereka mahu suruhanjaya diraja untuk menyiasat dan bukannya panel bebas yang tidak mempunyai apa-apa kuasa.

Kemarahan ini dimanifestasikan dengan perarakan peguam di Putrajaya yang dikepalai sendiri oleh Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan. Perarakan yang dihadiri oleh 2,000 orang itu mendapat reaksi dari pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam ucapannya di Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14, Perdana Menteri mengingatkan Majlis Peguam agar mengutamakan kepentingan Negara. Seperti biasa, isu sebenar mengenai kepincangan sistem kehakiman tidak disentuh tetapi soal demonstrasi yang dijadikan isu.

Tidak cukup dengan perarakan, tekanan demi tekanan terus dibuat terhadap kerajaan agar suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat klip video Lingam tersebut. Setiap kali panel bebas bermesyuarat di Pejabat Suhakam di Menara Tun Razak, mereka pasti akan diserbu oleh aktivis peguam dan NGO.

Akibat tekanan yang berterusan daripada rakyat, akhirnya Perdana Menteri mengumumkan bahawa suruhanjaya diraja akan ditubuhkan bagi menyiasat klip video Lingam.

Kemenangan kecil

Ini adalah satu kemenangan kecil bagi para peguam, aktivis NGO dan politik yang memberikan tekanan yang berterusan sehingga kerajaan bersetuju agar suruhanjaya diraja ditubuhkan.

Apa yang akan berlaku selepas tertubuhnya suruhanjaya diraja itu adalah bab yang seterusnya. Bab yang pertama telah selesai. Suruhanjaya diraja akan ditubuhkan. Aktivis peguam, NGO dan politik tidak boleh berehat dan bersuka ria terlalu lama dengan kemenangan pertama itu. Selepas ini, mereka harus memastikan agar suruhanjaya diraja yang ditubuhkan itu nanti, berwibawa dan benar-benar telus dalam menyiasat video klip Lingam.

VK Lingam yang menyepi sekian lama akhirnya bersuara semalam dan mengatakan bahawa dia akan bekerjasama dengan suruhanjaya diraja yang akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk membersihkan namanya.

Penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat isu klip video Lingam diharapkan menjadi titik permulaan dalam pembersihan sistem kehakiman di Malaysia. Kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman harus dipulihkan.

Penubuhan suruhanjaya diraja setelah berkali-kali kerajaan berdolak-dalik, membuktikan bahawa setiap perjuangan pasti akan menemui kemenangan. Cuma masa yang akan menentukan.

Setelah hampir 20 tahun selepas pemecatan Tun Salleh Abas, sistem kehakiman di Malaysia masih lagi dipersoalkan. Terlalu banyak kes seperti kes Anwar, kes Norita, kes rasuah Eric Chia dan yang terbaru ialah kes pembunuhan warga Mongolia, telah menyebabkan sistem kehakiman di Malaysia menjadi bahan ketawa masyarakat dunia.

Cabaran sekarang terletak di bahu perdana menteri. Apakah beliau serius dalam usaha memulihkan kepercayaan rakyat terhadap isu kehakiman, ataupun mahu membiarkannya sahaja?

Isu rasuah

Jika Abdullah bijak, beliau harus memastikan bahawa suruhanjaya diraja ini benar-benar bebas dan telus. Jika ini berlaku, Abdullah Ahmad Badawi akan dikenang sebagai perdana menteri yang membersihkan sistem kehakiman. Mungkin selepas melepaskan jawatan perdana menteri suatu hari nanti, beliau akan digelar sebagai “Bapa Sistem Kehakiman”.

Dari segi politik pula, Abdullah akan menjadi kuat. Bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang seringkali mengkritik pentadbiarannya, akan sibuk untuk menjawab krisis kehakiman ini oleh kerana kebobrokan sistem kehakiman di Malaysia bermula di zaman pemerintahan bekas perdana menteri itu.

Namun dari segi rekod sepanjang pemerintahan Abdullah, kemungkinan ini sukar untuk berlaku. Sebagai contoh dalam isu memerangi rasuah, ianya hanya menjadi umpan untuk memenangi pilihanraya 2004. Selepas mencapai kemenangan besar, sudah tidak nampak keseriusan pemerintahan Abdullah untuk melawan rasuah. Lapan belas orang yang berprofil tinggi yang dikatakan akan diambil tindakan dalam isu rasuah, juga telah menjadi kenangan.

Mungkin juga penubuhan suruhanjaya diraja ini hanya menjadi gula-gula kepada rakyat untuk pilihanraya umum ke-12 yang akan datang. Rakyat harus menjadi lebih bijak. Jangan sampai tertipu berkali-kali. Jangan cepat berpuas hati. Selagi tidak tercapai matlamat, jangan berhenti.

Desakan dan tekanan harus diteruskan agar suruhanjaya diraja memainkan peranan dengan baik. Mungkin satu perhimpunan raksasa diperlukan untuk menuntut Institusi kehakiman dibersihkan.

Dalam filem V for Vendetta ada sebuah dialog yang menarik perhatian saya. Dan saya percaya akan kebenarannya. Dialog tersebut berbunyi: “People should not be afraid of their governments. Governments should be afraid of their people”.(Rakyat tidak harus takut kepada kerajaan. Kerajaanlah yang harus takut rakyat).



No comments: