Ke mana hilangnya laporan rasuah terhadap Khalil Yaakob?


Salmiyah Harun | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Nov 21, 07 | 6:32:06 pm MYT

PUTRAJAYA, 21 Nov (Hrkh) - Tiga laporan rasuah telah dibuat. Nilai rasuah dianggarkan berbilion ringgit. Dan bekas Menteri Besar Pahang, Tun Khalil Yaakob dikatakan terbabit. Tetapi yang menjadi persoalannya, ketiga-tiga laporan tersebut tidak sampai ke pengetahuan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Hari ini pihak BPR menafikan menerima laporan rasuah berbilion ringgit yang melibatkan Khalil Yaakob walaupun telah dilaporkan kepada polis sejak tahun 2001.

Pengerusi Gerak Ezam Mohd Noor ketika ditemui selepas berjumpa dengan Pengarah Siasatan BPR, Dato' Shukri Abdul di Putrajaya pagi tadi terkejut apabila diberitahu badan itu tidak menerima laporan rasuah membabitkan nilai balak berbilion ringgit di Pahang walaupun sudah tiga kali laporan polis dibuat.

Katanya yang tiba di ibu pejabat BPR jam 10.15 pagi, tiga laporan rasuah telah dibuat antara 2001 sehingga 2007 dan salah satu daripadanya dilaporkan oleh Bekas Adun Beserah, Dato' Fauzi Rahman.

"Ini bermakna ada tiga laporan polis telah dibuat terhadap kes balak selama lima tahun yang diambil oleh bekas MB Pahang secara tidak sah, jadi hari ini saya amat terkejut apabila BPR memberitahu mereka tidak menerima laporan polis tentang kes ini," katanya.

Bagaimanapun, menurut Ezam, Shukri berjanji akan membuat siasatan dan mencari semula kes tersebut.

Ezam turut mempersoalkan kenapa kes yang melibatkan rasuah berbilion ringgit tidak dikemukakan kepada BPR.

"Dan saya masih ingat ketika itu, MT Umno pun hendak menubuhkan jawatan kuasa disiplin dan rasuah disebabkan kes rasuah ini, tetapi dari 2001 hingga 2007 tidak ada seorang pun ambil tahu fail laporan," katanya.

Beliau menjelaskan, mana-mana laporan rasuah yang dilaporkan kepada polis akan diserahkan kepada BPR untuk menyiasat.

Ketika ditanya jumlah nilai balak yang diambil secara tidak sah, Ezam berkata berdasarkan laporan polis yang dibuat nilai balak antara RM300 hingga RM900 juta setahun dan Khalil mendapat kuota tersebut selama lima tahun.

Sebelum ini, Khalil Yaakob dilantik sebagai Menteri Besar Pahang sehingga tahun 1999, tetapi beliau mendapat kuota balak sejak tahun 2000 hingga 2004.

Sehubungan itu, Ezam meminta supaya BPR ataupun Perdana Menteri membuat penjelasan segera berhubung kes ini.

"Kami akan tunggu BPR membuat siasatan lanjut dan kami akan datang semula, sehingga akhir Disember ini, tidak ada apa-apa tindakan daripada BPR kami akan datang semula untuk semua kes yang kami bawa pada hari ini,"katanya.

Beliau turut mencadangkan agar BPR berjumpa Perdana Menteri atas segala kes rasuah yang dikemukakannya sebagaimana di dalam laporan 600 muka surat yang diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum ini.

"Sekarang saya dah bagi dokumen 600 muka surat kepada PM sepatutnya BPR pergi jumpa PM, sebab PM menyimpan dokumen rasuah, kalau BPR boleh jumpa Tuan Guru Nik Aziz untuk menyiasat kes lama, kenapa tidak PM" katanya.

Tambahnya, adalah menjadi satu kesalahan jenayah di bawah Akta Polis apabila laporan yang telah dibuat dan tidak diambil tindakan.

"Bila laporan polis dibuat dan tindakan tidak diambil, itu merupakan satu kesalahan jenayah, laporan polis dibuat sejak tahun 2001, jadi tidak ada tindakan selama ini, itu merupakan satu jenayah dari segi Akta Polis," katanya.

Dalam pertemuan dengan BPR, Ezam turut mengemukakan dua lagi kes rasuah iaitu melibatkan kesatuan sekerja dalam kes pecah amanah oleh salah seorang pegawai kesatuan terbabit.

Bagaimanapun beliau awal-awal lagi memberitahu kesatuan itu bukannya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Tindak balas terhadap kes ini, Ezam memberitahu BPR masih tidak mempunyai cukup bukti untuk membuat pendakwaan di mahkamah.

"Bagi kami di Gerak bukti sudah jelas berlaku pecah amanah dalam kesatuan tetapi bagi BPR bukti tidak cukup, bagaimanapun BPR berjanji akan mengkaji semula kes ini," katanya.

Di samping itu, Ezam meminta penjelasan sama ada BPR sudah membuat siasatan berhubung kes rasuah yang melibatkan perjudian oleh Bekas Ketua Menteri Sabah, Dato' Osu Sukam sejumlah RM7 juta.

Bagaimanapun Ezam diberitahu oleh Shukri, kes ditutup dan dikira selesai kerana mereka tidak mempunyai cukup bukti untuk menyabitkan Osu Sukam dengan rasuah. - mks.


No comments: