Shah Khan.
Saya hairan kenapa ramai orang marah sekarang. Rasa sempit, harga barang naik, subsidi dikurangkan, dan hidup makin mencabar. Tapi yang saya lagi hairan, ialah bagaimana semua kemarahan itu ditujukan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, seolah-olah beliau penyebab utama kepada segala kepedihan hidup yang kita warisi sejak puluhan tahun.
Realitinya, Anwar Ibrahim mewarisi sebuah negara yang bukan sahaja tenat, tetapi juga cedera dalaman. Hutang negara melebihi RM1.5 trilion, subsidi bocor bertahun-tahun, kebocoran hasil negara dibiarkan begitu lama sehingga ekonomi kita dibina atas dasar palsu – harga barang disuap subsidi, bukan disokong produktiviti. Sistem kita terlalu lama bergantung kepada pendekatan populis, bukan penyelesaian sebenar.
Jadi bila seorang pemimpin cuba ubah pendekatan, kita semua terkejut. Rakyat marah kerana buat pertama kali kita diberitahu kebenaran. Kita diminta menelan realiti yang selama ini kita elak. Kita terbiasa dimanjakan dengan subsidi pukal, dengan bantuan segera, dengan pemimpin yang hanya tahu menabur, tapi tak pernah membina. Hari ini, apabila subsidi mula disasar, apabila bantuan diprogram secara sistematik dan bukan semborono, kita rasa seperti dizalimi. Padahal inilah langkah menyelamat yang sebenar.
Saya tak nafikan hidup sekarang mencabar. Tapi saya juga tak boleh tutup mata kepada usaha yang sedang berlaku. Kita melihat pelaburan luar mula kembali, inflasi terkawal bawah 2.5%, ringgit mula pulih, gaji minimum dinaikkan, bantuan bersasar diteruskan. Tapi semua ini tak viral di TikTok. Yang viral ialah keratan harga barang naik, kereta mewah isi diesel mahal, atau potongan ucapan PMX yang disunting separuh jalan untuk dijadikan bahan sindiran.
Kerajaan sekarang bukan sempurna. Tapi sekurang-kurangnya ia ada keberanian – bukan hanya cakap soal agama, bangsa dan air mata semata-mata, tetapi berani menyentuh struktur dasar. PMX bukan hanya pandai bercakap, tapi juga berani melaksanakan. Saya tahu itu menjadikannya tidak popular. Sebab rakyat zaman sekarang tak suka pemimpin yang serius. Kita suka pemimpin yang jerit di pentas, yang marah depan kamera, yang ‘nampak lantang’ walaupun tak ada isi.
Saya tahu ada yang persoalkan mengapa dia masih mengekalkan orang-orang yang pernah bersama sistem lama. Tapi dalam dunia sebenar, kerajaan bukan gelanggang retorik. Dalam politik realiti, kita perlu bina kestabilan sebelum boleh membina perubahan. Dan kestabilan itu tidak datang dengan idealisme semata-mata – ia perlukan kompromi, strategi, dan masa.
Anwar Ibrahim bukan tokoh baru. Beliau datang dengan sejarah panjang, dengan jatuh bangun, dengan luka politik yang semua orang tahu. Tapi beliau juga datang dengan satu perkara yang tiada pada ramai orang politik kita – iaitu keberanian untuk tidak menjadi popular. Bila beliau tak turunkan harga petrol, bila beliau tak teruskan subsidi pukal, bila beliau tak ikut rentak retorik lawan – semua itu bukan tanda kelemahan, tapi bukti bahawa akhirnya kita ada pemimpin yang berani menanggung risiko politik demi menyelamatkan negara.
Saya ulang – kerajaan ini bukan sempurna. Tapi ia bukan kerajaan yang malas. Ia bukan kerajaan yang pura-pura bekerja. Ia adalah kerajaan yang sedang memikul beban paling berat dalam sejarah moden negara – menyelamatkan kewangan, menyusun semula dasar, dan dalam masa sama berdepan rakyat yang sedang sakit dan kecewa.
Kalau kita benar-benar mahu negara ini pulih, kita perlu beri ruang kepada pemulihan sebenar. Bukan sekadar sorak semangat di jalanan, tapi memahami bahawa ubat itu pahit. Bukan sebab doktor zalim, tapi sebab penyakit ini sudah terlalu lama dibiarkan.
PMX bukan penyebab masalah. Beliau adalah orang yang akhirnya berani cakap: “Cukup, kita kena baiki sekarang walau tak popular.”
Dan kerana itu, saya sokong beliau. Bukan kerana dia sempurna. Tapi kerana dia satu-satunya yang sedang buat kerja sebenar – ketika orang lain masih sibuk main persepsi.

No comments:
Post a Comment