𝗖𝗔𝗟𝗢𝗡 𝗣𝗠 𝗕𝗔𝗡𝗬𝗔𝗞, 𝗙𝗢𝗥𝗠𝗨𝗟𝗔 𝗦𝗘𝗟𝗘𝗦𝗔𝗜 𝗠𝗔𝗦𝗔𝗟𝗔𝗛 𝗞𝗨𝗥𝗔𝗡𝗚








Perhimpunan Agung BERSATU kecoh baru-baru ini, bermula dengan satu surat layang yang menuduh ada cubaan untuk mengumpul sokongan memaksa Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi laluan kepada timbalannya, Hamzah Zainuddin.


Isu surat layang ini berlanjutan ke perhimpunan agung apabila ada insiden jerit menjerit semasa Tan Sri Muhyiddin berucap.


Memandangkan PRU16 boleh dipanggil dalam tempoh 2 tahun dari sekarang, musim pilihanraya datang lagi. Musim pilihanraya bermakna ramai yang boleh jadi calon.


Calon ahli parlimen, calon menteri besar, calon menteri dan yang paling hebat, calon Perdana Menteri. Jadi, ini musim yang calon-calon akan tumbuh seperti cendawan.


Setiap parti utama di negara ini sebenarnya ada pergolakan masing-masing. 


PKR telah selesai. Walaupun nampak damai di luar, tetapi luka dari pemilihan yang lepas adalah sukar untuk dipulihkan, baik di dalam parti atau di mata pengundi.


DAP juga akan terus berhadapan dengan pertembungan kumpulan-kumpulan dan sentimen bahawa veteran parti diketepikan kerana ramai orang baru yang masuk. 


UMNO akan terus dibayangi oleh kumpulan Dato’ Seri Najib yang tidak wala’ sepenuhnya kepada presiden Dato’ Seri Zahid Hamidi.


PAS nampak tenang dari luar, tetapi tokoh-tokoh utama menyusun strategi untuk menjadi pemimpin selepas zaman Dato’ Seri Hadi Awang, memandangkan keadaan kesihatan yang semakin uzur. Kemudian ada pertembungan golongan ustaz melawan yang bukan ustaz. 


Kemudian kita ada BERSATU. Saya dimaklumkan keadaannya sudah sampai ke peringkat mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin.


Itu belum lagi ura-ura usaha untuk mengumpul ahli-ahli parlimen untuk tebuk atap sekali lagi.


Jadi, negara kita tidak pernah ketandusan ahli-ahli politik yang mahu menjadi calon, terutamanya untuk menjadi Perdana Menteri.


Calonnya banyak, cuma jumloh belum cukop. Belum cukop jumloh untuk menggulingkan Muhyiddin, belum cukop jumloh untuk tebuk atap.


Semua ini terus berlaku dalam keadaan penyokong-penyokong yang wala’ di bawah saling memaki hamun dan menanggung risiko dosa fitnah setiap hari.


Budaya penyokong-penyokong wala’ yang memaki hamun di media sosial dan menjadi pembuli siber ini juga yang sedikit sebanyak menjadi teladan kepada anak-anak kita, kerana pewala’ yang memaki hamun ini juga ibu bapa kepada anak-anak.


Akhirnya, bila ada pemimpin baru yang naik, masalah tidak selesai. Maki hamun berterusan dan kitaran itu berterusan.


Sebabnya ialah budaya masyarakat kita yang menilai seorang calon pemimpin berdasarkan sentimen dan personaliti, bukannya kebolehan dan ilmu untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah. Sedangkan pemimpin politik, baik Perdana Menteri, menteri, menteri-menteri besar itu digaji oleh rakyat untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah.


Itulah punca kepada penyakit masyarakat kita, iaitu calon Perdana Menteri banyak tetapi formula untuk selesai masalahnya kurang. Sebab kita tidak beri perhatian pun kepada idea yang dibawa, sebaliknya kita agung-agungkan sentimen dan personaliti.


Kitaran ini akan berterusan, masalah akan dipanjangkan dan sebenarnya yang menanggung beban adalah tukang wala’ politik tidak bergaji juga.




No comments: