RUU MUFTI UNTUK DIBAHAS BUKAN UNTUK DIALOG




Portal Malaysiakini melaporkan Mufti Perlis, Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Naim Mokhtar untuk berdialog mengenai RUU Mufti. 


Beliau dilaporkan berkata, "Menteri agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan yang selaras dengan idea Madani. Malangnya beliau seakan sedang membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan seperti yang pernah dilakukan oleh Ibn Tumart. Apa kata jika media rasmi kerajaan memberi ruang saya berdialog dengan menteri agama secara terbuka disaksikan rakyat tanda beliau berupaya mempertahankan ideanya?"


Isu yang nampaknya membawa ketidakpuasan hati Mufti Perlis adalah mengenai definisi ‘al-Asyairah dan Al-Maturidiyah’. Rujukan itu dibuat kepada seksyen 3 RUU tersebut mengenai perlantikan seorang mufti dan timbalan mufti hendaklah ianya seorang warganegara Malaysia, seorang Ahli Sunah Waljamaah dan mempunyai kepakaran Hukum Syarak. Subseksyen 3(4) pula memberikan definisi Ahli Sunah Waljamaah itu ertinya mana-mana orang yang berpegang dengan al-Quran dan Sunah; berkenaan dengan akidah - mengikut pegangan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah; berkenaan dengan syariah - mengikut mazhab Syafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali atau ijtihad hukum Jawatankuasa Fatwa, dan berkenaan dengan tasawuf - mengikut pegangan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.


Sebagai perbandingan, seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) menyebutkan “(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis melantik orang-orang yang layak dan sesuai menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi wilayah-wilayah Persekutuan.”


Selanjutnya dalam seksyen 16(3) RUU Mufti menyebutkan ‘dalam mengeluarkan apa-apa fatwa yang berhubungan dengan akidah, Jawatankuasa Fatwa hendaklah mengikut pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah’.


Mengenai isu dialog ini adalah sebenarnya bukan forum yang sepatutnya digunakan. Mungkin Mufti Perlis mempunyai ideanya sendiri berkaitan cadangan tersebut namun sesuatu rang undang-undang bukan perlu didialogkan di dalam televisyen tetapi perlu dibahaskan di Parlimen. Oleh itu, tidak timbul soal Menteri berani atau tidak untuk berdialog di televisyen. Cadangan untuk berdialog ini pun menunjukkan Mufti Perlis tidak faham proses pembuatan sesuatu RUU. Mufti Perlis tidak perlu menonjolkan dirinya sebagai hero atau juara. Jika ada pun rasa tidak puas hati adalah lebih harmoni jika Mufti Perlis itu datang ke pejabat Menteri di Putrajaya. Saranan dialog seperti yang diminta ini hanyalah seperti kartun upin dan ipin yang mencabar kawannya yang lain untuk bermain bola dan jika dia menang maka akan dijajanya dalam kampung bahawa dialah hero sebenar. 


Skop RUU Mufti ini sendiri terhad kepada Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Syarat ‘akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah’ ini hanya dikenakan kepada perlantikan mufti dan timbalan mufti sahaja. Ianya bukan dikenakan kepada orang ramai. Maksudnya, pengenaan syarat akidah seperti ini tidak pun menjejaskan hasrat agenda keluasan, kesederhanaan, idea madani apatah lagi untuk membawa kepada kafir-mengkafir atau sesat menyesatkan. Perbuatan Mufti Perlis menyamakan perbuatan Ibn Tumart dengan akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah adalah satu perumpamaan yang tidak tepat. Perbuatan Ibn Tumart itu adalah sepatutnya dinisbahkan kepada perbuatan individu. Jika benar pun Ibn Tumart seorang yang zalim dan membunuh orang ramai adakah semua orang Islam lain yang berpegang kepada akidah Al-Asyairah dan Al-Maturidiyah juga berlaku zalim seperti Ibn Tumart? Lainlah jika perbuatan zalim itu sendiri dinisbahkan kepada Imam Abu Hasan Asy’ari dan Imam Abu Mansur  Al-Maturidi. Kedua-dua aliran ini juga sudah berzaman berada dalam masyarakat nusantara dan tidak pernah lagi berlaku permusuhan sesama Islam yang berpunca daripada masalah aliran ini. Apa yang kita lihat permusuhan, kafir mengkafir, solat dua imam dan nikah dua kali yang wujud di Malaysia ini adalah banyak diasaskan oleh permusuhan fahaman politik dan bukannya permusuhan berasaskan akidah.


Selain itu, RUU Mufti ini juga telah mendapat perkenan YDPA sebelum dibentangkan di Parlimen. Siapakah Mufti Perlis untuk berdialog membantah perkenan YDPA. Apakah jika Mufti Perlis menang nanti dalam dialog itu bermakna dia boleh mengatasi perkenan YDPA? Struktur Perlembagaan telah meletakkan YDPA sebagai Ketua Agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan. Perbuatan Mufti Perlis mencabar Menteri untuk berdialog mengenai RUU Mufti ini  seolah-olah seperti mencabar perkenan YDPA.


Seperkara lagi, seorang mufti dan timbalan mufti itu akan dilantik oleh YDPA. YDPA pula akan dinasihati oleh Menteri dan YDPA juga perlu berunding dengan MAIWP sebelum melantik mufti dan timbalan mufti. Maka, dengan proses saringan seumpama itu kawalan pastinya akan dapat dibuat untuk melantik seorang yang tepat sebagai mufti dan timbalan mufti.


Kebimbangan lain yang ditimbulkan juga adalah mengenai aliran ini akan menekan aliran lain melalui proses pewartaan fatwa. Mereka bimbang jika mufti dan timbalan mufti ini berakidah menurut pegangan Al-Asyairah dan Al-Maturidiah maka fatwa yang dibuat itu akan menekan aliran akidah yang lain. Jika hal itu menjadi isu maka sepatutnya isu itu dilihat dari segi proses pembuatan fatwa.


Proses pembuatan fatwa haruslah melihat kepada Bahagian IV RUU Mufti yang telah menjelaskan bagaimana sesuatu fatwa itu dibuat. Sekurang-kurangnya ada lima saringan yang perlu dilalui bagi proses pembuatan fatwa. Tiada satu pun proses itu menunjukkan proses itu hanya melibatkan mufti atau timbalan mufti secara berseorangan. Proses itu akan melibatkan sekumpulan orang yang pakar dan juga melibatkan perkenan YDPA. Jika ianya melibatkan kepentingan awam maka akan dirujuk kepada Jawatankuasa Muzakarah terlebih dahulu.


Meskipun seksyen 16(3) RUU Mufti ini menyebutkan jika ada fatwa berkaitan akidah dikeluarkan maka Jawatankuasa Fatwa hendaklah mengikut pegangan yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah tetapi bukan bermakna aliran lain diharamkan. Sama seperti kedudukan seksyen 16(1) yang menyebutkan fatwa berkaitan syariah hendaklah mengikut qaul muktamad mazhab Syafie dan jika bertentangan dengan kepentingan awam baharulah dirujuk kepada mazhab lain. 


Akhir sekali, RUU Mufti ini adalah satu usaha kerajaan untuk memperkukuhkan institusi fatwa khasnya di peringkat Persekutuan selaras dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Dengan adanya RUU Mufti ini diharapkan institusi fatwa akan menjadi lebih kukuh dan dihormati.


Dr Zulqarnain Lukman

15 Oktober 2024

12 Rabiulakhir 1446H